25 January 2012

MB Selangor: Mas Kg Baru disusun semula

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
KUALA LUMPUR - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim malam tadi mengumumkan akan menyusun semula keanggotaan Lembaga Pentadbir Pertanian Penempayan (Mas) Kampung Baru bagi mewakili semua kumpulan kawasan penempatan berusia lebih 100 tahun itu.

"Kita mahu yang akan menjadi lembaga pengarah Mas terdiri daripada semua golongan yang mewakili Kampung Baru.

"Saya akan meminta Jawatankuasa Kerja Bertindak Kampung Baru (JKBKB) untuk panggil semua buat mesyuarat.

"Saya mahu pastikan lembaga pengarah yang baru dianggotai oleh mereka yang terdiri daripada pelbagai kumpulan supaya boleh bergerak bersama," katanya pada sidang media selepas sesi dialog dan majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Baru, malam tadi.

Kedudukan keanggotaan dalam lembaga itu turut menjadi persoalan ekoran penggubalan rang undang-undang baru berhubung pembangunan semula Kampung Baru.

Awal November lalu, Sekretariat Pembangunan Kampung Baru dicabar mengemukakan bukti bahawa Mas Kampung Baru di bawah bidang kuasa kerajaan Selangor.

“Dia akan keluarkan bukti? Keluarkanlah...,” kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi sekretariat itu Ahmad Zambri As’ad Khuzami bahawa mereka mempunyai bukti Mas masih berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Selangor.

Sekretariat Pembangunan Kampung Baru menolak kenyataan Raja Nong Chik sebelum itu yang menegaskan bahawa kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa ke atas Mas Kampung Baru.

Ahmad Zambri berkata, Kampung Baru secara fizikalnya terletak di bawah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Namun begitu, katanya, peruntukan dalam Enakmen Tanah Petempatan Pertanian Melayu 1950 menyatakan Mas tertakluk kepada bidang kuasa negeri Selangor.

Isu Mas timbul susulan kenyataan Ahmad Zambri pada hujung bulan lepas yang mendakwa rombakan Mas akan dilakukan atas kuasa yang ada pada Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun dalam kenyataan balasnya, Raja Nong Chik dilapor berkata kerajaan Selangor tidak berhak campur tangan dalam pentadbiran Mas kerana badan itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

Dalam pada itu, menurut Khalid, sebuah pejabat yang turut menyediakan khidmat guaman dan jururunding hartanah bagi kemudahan penduduk Kampung Baru akan dibuka kepada orang ramai dua minggu lagi.

Pejabat tersebut beradai di tingkat satu, bangunan Yayasan Selangor.

Khalid berkata, pejabat tersebut bertujuan bagi memudahkan penduduk Kampung Baru mendapatkan khidmat nasihat guaman dan pelbagai secara percuma.

"Jika penduduk ada kemusykilan, sila ajukan seberapa banyak soalan anda di kaunter pejabat yang akan di buka tidak lama lagi," katanya.

Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 diluluskan Parlimen hujung tahun lalu.

0 comments:

Post a Comment