18 January 2012

5 jam hadapi api marak, angin

KEBAKARAN di tingkat atas bangunan yang masih dalam pembinaan berhampiran Plaza Sentral di Jalan Tun Sambathan, Brickfield berlaku kira-kira jam 3 pagi semalam.
KEBAKARAN di tingkat atas bangunan yang masih dalam pembinaan berhampiran Plaza Sentral di Jalan Tun Sambathan, Brickfield berlaku kira-kira jam 3 pagi semalam.
Pengalaman getir sukar dilupakan uji kecekapan pasukan bomba

KUALA LUMPUR: Kebakaran bangunan 348 Sentral dalam pembinaan di KL Sentral awal pagi semalam, bukan saja menguji kecekapan dan kesiapsiagaan anggota bomba, malah turut menjadi pengalaman sukar dilupakan bagi mereka yang menyertainya.
Penguasa Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Mohd Taquiddin Victor Dollah, 32, yang baru setahun setengah memikul tanggungjawab sebagai pegawai bomba menganggap tugas memadam kebakaran di bangunan tinggi itu sebagai sukar dan satu pengalaman berharga.
“Sepanjang saya menjadi anggota bomba, ini pengalaman pertama saya memadam kebakaran di bangunan tinggi dan tidak dapat dinafikan ia amat mencabar serta menguji ketahanan mental dan fizikal kerana lima jam terpaksa melalui pelbagai rintangan.

“Keadaan begitu menakutkan kerana situasi berbahaya memandangkan kami terpaksa membawa hos memadam kebakaran sendiri menggunakan lif hingga ke tingkat 26 dan memanjat besi perancah hingga tingkat 30 dalam keadaan asap tebal dan kawasan sempit.

“Ini pengalaman hebat. Ketika berada di atas, api sedang marak, keadaan cukup panas dan berangin, selain kayu dari syiling jatuh.

“Pelbagai perkara bermain dalam kepala saya ketika itu, demi tugas dan minat membara dalam bidang ini menjadikan cabaran yang dilalui itu sebagai pengalaman cukup bermakna. Rasa berbaloi usaha kami berjaya,” katanya kepada Berita Harian.
Bagi anggota Unit Tindakan Pantas Bermotosikal (RIM) Bomba Kuala Lumpur, Mohd Rafiq Jamil, 30, walaupun pernah terbabit dalam operasi memadam kebakaran di bangunan tinggi, perasaan gerun sentiasa ada dalam dirinya.

“Pada mulanya saya berasa gerun melihat laluan yang bakal dilalui untuk sampai ke tingkat atas, berdasarkan pengalaman sebelum ini, saya beranikan diri memadam kebakaran hampir empat jam,” kata Mohd Rafiq yang menyertai perkhidmatan bomba dua tahun lalu.

Penyelia Pasukan Operasi Bomba Bukit Jalil, Fadzil Arshad, 42, pula menggunakan pengalamannya selama 22 tahun dalam pasukan itu untuk membantu rakan sepasukan yang masih kurang pengalaman dalam memadam kebakaran di bangunan tinggi.

“Selain memberi semangat kepada rakan setugas yang memadam api di tempat tinggi, tugas kami di bawah lebih terarah kepada memastikan sumber air dari pili bomba dapat disalurkan dengan baik tanpa sebarang masalah,” katanya.

KRONOLOGI
Kebakaran di KL Sentral

3.50 pagi : Kebakaran dikesan di Tingkat 31, bangunan 348 Sentral.

3.53 : Bomba menerima panggilan kecemasan.

3.58 : Jentera pertama dari Balai Bomba Pantai tiba di lokasi kejadian.

4.03 : Jentera kedua dari Balai Bomba Pusat tiba di tempat kejadian

4.16 : Jentera ketiga dari Balai Bomba Taman Desa, diikuti Balai Bomba Taman Tun Dr Ismail menyertai operasi.

4.20 : 15 anggota bomba mula naik menggunakan lif kontraktor sehingga tingkat 26, sebelum memanjat besi perancah ke tingkat 30 dan 31 untuk meninjau dan membuat persiapan.

5.32 : Jentera kelima dari Balai Bomba Sentul, diikuti jentera dari Balai Bomba Gombak Selatan tiba di tempat kejadian.

6.00 : Jalan Tun Sambanthan ditutup bagi memudahkan operasi memadam kebakaran.

6.03 : Jentera ketujuh dan kelapan dari Balai Bomba Cheras dan Bukit Jalil tiba di lokasi.

6.10 : Operasi memadam bermula.

7.00 : Pasukan Forensik Bomba tiba di KL Sentral.

7.30 : Anggota bomba mula mengepam air dari kolam renang kondominium Suasana Sentral Loft.

7.45 : Semua jalan menghala ke Brickfields mengalami kesesakan.

8.40 : Api dapat dikawal sepenuhnya.

1.30 tengah hari : Operasi memadam ditamatkan.

2.00 petang : Jalan Tun Sambanthan dibuka semula.

0 comments:

Post a Comment