20 January 2012

17 bot nelayan asing dirampas

17 bot nelayan asing dirampas
PASIR PUTEH - Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 10 Tok Bali berjaya merampas sebanyak 17 bot yang bernilai RM8.5 juta milik nelayan asing sepanjang tahun 2011.

Ketua Penguat kuasa Maritim Daerah, Komander Zainin Abdul Majid berkata, tangkapan tersebut dibuat atas kesalahan menceroboh perairan negara dan menangkap hasil laut di sini.

”Nelayan yang paling banyak terlibat adalah daripada Vietnam iaitu sebanyak 13 bot dan empat daripada Thailand,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, nilai bagi semua tangkapan tersebut bukan sahaja melibatkan harga bot sahaja tetapi peralatan menangkap ikan, peralatan komunikasi dan hasil tangkapan nelayan.
Zainin berkata, kesalahan tersebut adalah di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 yang boleh dijatuhkan hukuman denda RM1 juta atau enam bulan penjara bagi tekong dan RM100,000 atau enam bulan penjara bagi awak-awak atau kedua-duanya sekali.

Bagi tahun ini, sebuah bot nelayan Vietnam berserta 10 awak-awak dan seorang tekong ditangkap dalam satu operasi ‘Ops Perkasa Timur 06/2012’ di 106 batu nautika dari Timur Laut Tok Bali kira-kira jam 4.20 pagi kelmarin.

”Hasil pemeriksaan didapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan disabitkan kesalahan menangkap ikan di perairan perikanan Malaysia tanpa permit yang sah yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kesemua hasil tangkapan bernilai RM350,000 dan nelayan tersebut ditahan untuk tindakan selanjutnya. Operasi tersebut diketuai Pegawai Pemerintah KM Ligitan, Leftenan Komander Maritim Norhafizi Mohd Rafik bersama 15 anggota kapal sekitar perairan Kelantan.

0 comments:

Post a Comment