16 January 2012

Tujuh kenderaan remuk disondol lori

KOTA BHARU: Gara-gara bimbangkan keselamatan diri, seorang pemandu lori ‘ghaib’ sebaik kenderaan dipandu melanggar tujuh kenderaan lain di hadapannya hingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas dalam kemalangan di Jalan Yakobiah, dekat sini, petang kelmarin.
Kejadian jam 5.30 petang itu menyebabkan suasana tegang berikutan tindakan pemandu lori berkenaan menghilangkan diri manakala semua kenderaan terbabit dalam kemalangan mengalami kerosakan teruk.

Difahamkan kerosakan brek lori berkenaan menyebabkan tujuh kenderaan lain di hadapannya remuk akibat berlanggar antara satu sama lain, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Saksi kemalangan yang juga peniaga kedai makan, Chua Siong Kong, 43, berkata ketika mengemas kedainya, dia terdengar bunyi brek sebelum diselangi dentuman kuat.

“Saya terus berlari ke arah lokasi terbabit dan mendapati sebuah lori melanggar sebuah kereta Proton Wira di hadapannya menyebabkan enam kenderaan lain turut menerima kesan daripada pertembungan itu.

“Jalan di sini memang sibuk dan pada malam Sabtu lalu, tiga kenderaan terbabit dalam satu kemalangan di tempat yang sama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan lapan kenderaan dalam kejadian petang kelmarin.

0 comments:

Post a Comment