Mohd Azmi Abd Hamid
SHAH ALAM - Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menggesa agar Jawatankuasa Pusat Penguatkuasaan Undang-undang Syariah, yang penubuhannya diumumkan semalam, agar memberi perhatian serius ke atas punca gejala pemurtadan membabitkan umat Islam termasuk di kalangan golongan remaja menerusi laman Facebook.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, murtad tidak boleh hanya dilihat dari sudut undang-undang semata-mata, tetapi juga harus ditangani dari pelbagai faktor lain iaitu sosiobudaya, pendidikan dan ekonomi masyarakat.

"Kebiasaannya mereka yang menjadi mangsa murtad ialah apabila mereka didekati oleh pihak lain yang sememangnya mempunyai hasrat untuk mempengaruhi agar mangsa dimurtadkan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Jawatankuasa Pusat Penguatkuasaan Undang-undang Syariah akan ditubuhkan bagi mempertingkatkan lagi penguatkuasaan enakmen berhubung penyebaran agama oleh bukan Islam kepada orang Islam.

Katanya, jawatankuasa itu akan memantau secara dekat pelaksanaan penguatkuasaan enakmen tersebut oleh jabatan agama Islam negeri masing-masing.

Sehubungan itu, Azmi menambah, jawantankuasa tersebut juga perlu memberi perhatian ke atas usaha mengkaji dan menyemak semua enakmen mengenai murtad.

"Ini adalah kerana ada negeri yang masih mempunyai kelonggoran dalam isu murtad sehingga pihak yang mahu memohon menukar nama dan agama dari Islam kepada bukan Islam boleh berbuat demikian di negeri tersebut," katanya.

Azmi menambah, kini sudah wujud kes murtad golongan remaja hanya kerana terpengaruh dengan perhubungan dalam Facebook.

"Gejala perhubungan di luar pengetahuan ibu bapa dan guru telah mendedahkan remaja kepada penukaran agama tanpa diketahui oleh sesiapapun," katanya lagi.

Beliau menambah, pihaknya sangat khuatir terhadap gejala mereka yang murtad, tetapi terus berpura-pura masih Islam.

"Kes ibu bapa dikejutkan dengan pengakuan anak-anak yang keluar dari Islam pernah berlaku dan hal ini sangat perlu diberi perhatian serius.

"Kami memandang serius gejala murtad yang berkembang di kalangan anak muda akibat masalah keluarga yang tidak dapat dikendali dengan baik," katanya lagi.

Azmi berkata, beliau juga berpendapat adalah sangat penting jawatankuasa yang diwujudkan membantu negeri-negeri sama ada negeri yang sudah ada enakmen mengenai larangan menyebar agama lain dari Islam kepada orang Islam atau negeri yang masih belum ada enakmen berkenaan.

"Kerjasama bersepadu dengan semua agensi hendaklah dilakukan jika jawatnkuasa ini serius untuk mengatasi gejala murtad ini," katanya lagi.

Malah menurut beliau, isu penguatkuasaan undang-undang perlu diatasi segera kerana ia akan memberi imej kepada wibawa pihak berkuasa agama.

"Jika enakmen yang ada tidak dikuatkuasa walaupun sudah terbukti pihak yang terbabit bersalah maka enakmen dan agensi yang ujud akan menjadi momokkan masyarakat," katanya lagi.