15 January 2012

Suami lumpuh rentung

PARIT: Seorang isteri hanya mampu menangis hiba apabila mendapati suaminya yang lumpuh ditemui rentung selepas rumah papan mereka musnah dijilat api pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, mangsa, Abdul Manaf Panjang Kolah, 85, tinggal bersendirian di rumahnya di Kampung Layang-Layang Kiri, di sini, manakala isterinya, Zabedah Nordin, 67, keluar berniaga.

Zabedah yang berniaga menjual kuih dan nasi lemak di pasar sehari Layang-layang Kiri, dekat sini, berkata, ketika kejadian suaminya tinggal bersendirian di rumah manakala seorang anak lelakinya, Abdul Rafar, 36, keluar kerana mempunyai urusan di Titi Gantong.
Menurutnya, arwah memang tidak boleh berjalan sejak dua tahun lalu kerana mengalami strok dan hanya terbaring di katil sahaja.

“Saya biasanya akan berniaga di pekan sehari pada Ahad sahaja manakala hari lain berada di rumah untuk menjaga suami.

“Sebelum keluar berniaga, saya sempat menyediakan sarapan nasi lemak dan juga kuih-kuih terutamanya kuih cucur badak dan karipap kerana itu adalah kuih kegemaran arwah suami,” katanya sambil berlinangan air mata.
 
Menurutnya, dia tidak menyangka itu adalah sarapan terakhir yang dapat disediakan untuk suami kerana pada pagi kejadian suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Sementara itu jiran mangsa, Roslan Ibrahim, 50, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila melihat asap berkepul-kepul di sekitar rumah mangsa.
“Pada masa itu , saya sedang menghantar kuih ke pekan sehari kerana emak saya turut berniaga bersama dengan isteri mangsa.

“Apabila melihat asap hitam itu, saya mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku dan jangkaan saya tepat apabila api sudah marak membakar rumah. “Saya segera memberitahu isteri arwah selain menelefon bomba serta ambulans untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Parit, Amir Ahmad berkata, pihak bomba dan penyelamat Parit menerima panggilan pada jam 8.53 pagi dan tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian.

“Apabila tiba di tempat kejadian kami mendapati api sudah memusnahkan 95 peratus rumah mangsa.

“Daripada maklumat awal yang kami terima ada mangsa seorang lelaki berumur 80-an yang lumpuh berada dalam rumah,” katanya.

Katanya, api dapat dikawal lima minit kemudian. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi disiasat.

0 comments:

Post a Comment