15 January 2012

Satu serbuan, hasil berganda

Satu serbuan, hasil berganda
TEMERLOH – Polis menemui pelbagai jenis rokok seludup bernilai RM40,000 ketika serbuan dibuat ke atas sekumpulan lima lelaki yang leka bermain judi di tapak pembinaan perumahan dekat Taman Damai Court, di sini, 7 Januari lalu.

Dalam serbuan jam 8 malam itu, polis turut menemui dan merampas sebanyak 22 pil kuda selain wang tunai dipercayai digunakan untuk pertaruhan judi haram bernilai RM11,000 serta dua kereta milik suspek.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zundin Mahmood berkata, serbuan itu pada mulanya dilakukan untuk menahan sekumpulan lelaki yang leka bermain judi di kawasan pembinaan perumahan tersebut.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan lima lelaki sedang leka bermain judi, namun terkejut apabila menemui 479 karton rokok seludup bernilai RM40,000 semasa menjalankan pemeriksaan ke atas dua kereta milik lelaki terbabit.

“Kita menahan lima lelaki berumur antara 33 hingga 48 tahun. Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam, Seksyen 7 (1) Akta Rumah judi Terbuka dan Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), semalam.

Zundin berkata, hasil siasatan juga mendapati rokok terbabit diperoleh daripada seorang lelaki di Bahau, Negeri Sembilan.

Menurutnya, polis sedang mengesan lelaki terbabit kerana percaya rokok seludup tersebut ingin dijual kepada warga asing yang bekerja di tapak pembinaan sekitar daerah ini, manakala pil kuda untuk kegunaan sendiri.

0 comments:

Post a Comment