26 January 2012

Perbincangan Palestin-Israel temui jalan buntu

RAMALLAH (Tebing Barat): Perbincangan Palestin-Israel yang bertujuan memulihkan kembali rundingan damai berakhir di Jordan, semalam tanpa mencapai sebarang perkembangan, manakala Presiden Mahmoud Abbas merancang untuk berbincang dengan pemimpin Arab lain untuk tindakan seterusnya, kata pegawai Palestin. 

Pilihan yang dipertimbangkan Palestin termasuk meneruskan permohonan untuk keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan berbaik semula dengan kumpulan Islam Hamas, tindakan yang mendapat tentangan Israel. “Israel tidak mengemukakan sebarang perkara baru dalam pertemuan ini,” kata seorang pegawai Palestin.

“Sekarang kami akan menilai pilihan yang ada dan akan berbincang dengan rakan kami di Liga Arab pada 4 Februari ini,” katanya.

Perbincangan itu adalah sebahagian cadangan dikemukakan empat kuasa perantara Timur Tengah iaitu Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Russia dan PBB yang memberikan tarikh akhir tiga bulan hingga Oktober lalu untuk kedua-dua pihak membuat cadangan mengenai isu wilayah dan keselamatan. - Reuters

0 comments:

Post a Comment