25 January 2012

Pemandu dan penumpang kereta yang rempuh pejalan kaki didapati positif dadah

JAKARTA - Pemeriksaan perubatan terhadap pemandu dan tiga penumpang kereta yang merempuh sekumpulan pejalan kaki sehingga mengakibatkan sembilan maut dan empat yang lain cedera di sini Ahad, mendapati mereka positif dadah.

Jurucakap polis berkata ujian air kencing yang dilakukan terhadap mereka telah menemukan kandungan amfetamina, iaitu sejenis bahan yang biasa terdapat dalam syabu.
 
Polis percaya keempat-empat mereka menyertai pesta syabu di sebuah tempat yang tidak dinyatakan pada sebelah malam sebelum kejadian kereta yang mereka naiki itu merempuh sekumpulan pejalan kaki di Jalan M. Ridwan Rais, Gambir, Jakarta Pusat pada pagi Ahad.
 
Polis sebelum ini telah menahan pemandu kereta itu yang berusia 29 tahun untuk siasatan mengikut undang-undang lalu lintas kerana memandu dalam keadaan lalai sehingga menyebabkan kematian.

Dalam nahas yang berlaku pada kira-kira pukul 11.15 pagi semalam, lapan orang mati di tempat kejadian dan lima lagi cedera apabila dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan di hadapan bangunan Kementerian Perdagangan.
 
Mangsa kesembilan meninggal dunia malam tadi di Hospital Pusat Tentera Darat Gatot Soebroto akibat cedera parah di bahagian kepala. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment