24 January 2012

Nenek Fifi dicekik, diugut bunuh jika jerit

KUALA LUMPUR - Nenek kepada kanak-kanak perempuan Fifi Ramadani Syafrudin dicekik terlebih dahulu oleh lelaki yang menjadikan cucunya sebagai tawanan selama enam jam, semalam.

Asmah Abdul Hakim, 70, berkata pada masa kejadian pukul 9.45 pagi semalam, dia sedang menyapu sampah di laman rumahnya di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, apabila tiba-tiba dicekik dari belakang oleh seorang lelaki.

"Masa itu nenek tengah menyapu laman rumah dan menunduk untuk membuang sampah dan tiba-tiba ada seseorang dari belakang mencekik leher nenek dengan kuat.

"Nenek minta dilepaskan tetapi dia mengugut untuk membunuh dan mencederakan nenek jadi nenek menjerit minta tolong," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Asmah berkata, dia terus menjerit dan lelaki itu menjadi panik lalu menolaknya hingga dia jatuh tersungkur.
"Nenek tengok lelaki tersebut masuk ke dalam rumah tanpa berpakaian dan terus ke dapur serta membaling makanan dan minuman yang ada di atas meja makan dan membuang air kecil di dalam rumah," katanya.

Asmah berkata jiran kemudian membantunya bangun dan membawanya ke rumah jirannya setelah melihat keadaan yang tegang di rumahnya.

Dia berkata, selepas kejadian itu, mereka mendapati lelaki itu juga didapati turut membuang air kecil di beberapa tempat dalam rumahnya, termasuk di atas tilam.

"Alhamdulillah semuanya selamat... nenek rasa trauma sedikit disebabkan kejadian semalam dan malam tadi nenek tidak dapat tidur," katanya.

Sementara itu, dua orang kanak-kanak yang berada bersama Fifi Ramadani di dalam bilik sebelum lelaki itu menjadikan Fifi Ramadani sebagai tebusan, Nurul
Nabilah Norizal, 11, dan Nazreena Hakim Hermansyah, 11, juga tidak dapat tidur kerana terbayang-bayang kejadian yang dialami mereka.

"Dia mengacukan pisau pada leher Fifi dan Fifi terus mengundur ke belakang kerana ketakutan dan saya cuba hendak menarik tangan Fifi tetapi Fifi mengundurkan diri" kata Nazreena Hakim, yang merupakan sepupu kepada mangsa.

"Saya masih terbayangkan kejadian itu, rasa seolah-olah dia masuk ke bilik melalui tingkap rumah dan sentiasa berada di belakang saya," katanya.

Jiran mangsa seorang suri rumah Rosnah Ahmad Awang, 50, berkata, dia ternampak lelaki berkenaan melalui hadapan rumahnya tanpa berpakaian dan membawa satu beg plastik di tangannya sebelum kejadian itu.

"Saya nampak lelaki itu berjalan di depan rumah dan orang ramai mengejar dia kemudiannya dia berpatah balik masuk ke lorong di kawasan rumah mangsa dan saya terdengar orang menjerit meminta tolong," katanya.  - Bernama

0 comments:

Post a Comment