18 January 2012

Minda: Mendidik ‘hero’ di jalan raya

KITA menyambut tahun 2012 baru-baru ini dengan berita kemalangan ngeri di Lekir Sitiawan, Perak yang meragut tujuh nyawa. Selepas itu kita dikejutkan pula dengan kemalangan maut di Sabah meragut lima nyawa.
Ini menunjukkan betapa kemalangan berlaku tidak kira masa. Di jalan raya, maut mengintai di mana-mana sahaja dan bila-bila masa. Tujuh yang terkorban di Lekir adalah golongan remaja antara 15 hingga 22 tahun.
Menurut seorang rakan mangsa yang terselamat, kereta mereka dipandu mencecah 200 km/j.

Setiap tahun, selain musim perayaan, pergerakan kenderaan di jalan raya meningkat dengan begitu mendadak, terutama pada musim cuti sekolah, hujung minggu dan ketika cuti am walaupun sehari dua.

Contohnya, ketika sambutan hari ulang tahun kemerdekaan dan tahun baru, kebanyakan golongan remaja menjadikan jalan sebagai tempat untuk menunjukkan aksi mereka.

Tidak kira sama ada penunggang motosikal ataupun mereka yang berkereta, aksi yang bertujuan menarik minat orang sebenarnya menyusahkan pelbagai pihak di jalan raya.

Usaha mendidik pengguna jalan raya bagi kategori yang tidak bersopan dan buta undang-undang serta peraturan bukanlah sesuatu yang mudah. Jika tidak ada perubahan sikap, sampai bila-bila pun masalah ini tidak akan selesai. Buatlah kempen apa pun, sikap tidak menghormati peraturan, tergesa-gesa di jalan raya dan tidak bertimbang rasa akan tetap berlaku.

Justeru, jika kita berhenti dan memerhati senario di simpang jalan yang ada lampu isyarat, ada yang tetap meneruskan perjalanan walaupun lampu isyaratnya berwarna merah.

Statistik kemalangan dan kematian di jalan raya meningkat saban tahun. Jika kita ambil contoh terdekat, pada 2008 membabitkan 6,527 kematian, 2009 seramai 6,745 dan pada 2010 mencatatkan 6,872 kematian.

Sejak 2003, jumlah kematian di jalan raya melebihi 6,000 orang setahun. Di samping itu, menurut catatan antara 1998 hingga 2008, sejumlah 67,102 orang terkorban akibat kemalangan jalan raya.

Ini menunjukkan betapa kemalangan jalan raya juga menjadi isu yang tidak boleh kita anggap basi atau remeh, sebaliknya mesti diperkatakan dan diberi perhatian setiap masa dengan harapan pelbagai kaedah susulan dapat dilakukan untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian.

Pelbagai kempen dan usaha sudah dibuat, termasuk Kempen Keselamatan Jalan Raya (Kejara), Ops Sikap, iklan di media massa, pengenalan mata pelajaran mengenai keselamatan di jalan raya di sekolah sejak 2007, malah pelbagai slogan keselamatan jalan raya terpampang di mana-mana, tetapi apa yang dilihat ialah kemalangan dan kematian di jalan raya tetap mencatat angka membimbangkan.

Ada di kalangan penduduk negara lain melabelkan pemandu dan pengguna jalan raya di negara ini sebagai masyarakat kelas ketiga kerana budaya timur yang diamalkan tidak selari dengan sikap di jalan raya.

Oleh itu, usaha mendidik pemandu baru dan lama perlu diperkemas oleh pihak bertanggungjawab, terutama institut latihan memandu. Kurikulum memandu bukan saja perlu menekankan cara memandu dengan selamat dan berhemah, tetapi juga persediaan fizikal dan mental pemandu sebelum dan ketika di jalan raya.

Selain pendidikan dan kempen, penting juga penguatkuasaan undang-undang dipertingkat seperti kekerapan rondaan dan kaedah penyamaran dapat dirasakan membendung masalah daripada berleluasa.

Seperkara lagi ialah etika pemandu mestilah diberi penekanan agar jalan raya di negara ini diguna oleh mereka yang benar-benar mematuhi setiap peraturan sedia ada. Kaedah pemanduan selamat pula mesti diperhebat, terutama kepada pemandu baru kerana golongan terbabit penyumbang terbesar kemalangan dan kematian di jalan raya.

Contohnya, penunggang dan pembonceng motosikal mencatat jumlah kematian yang agak tinggi ketika Ops Sikap berlangsung atau bedasarkan perangkaan hujung tahun.

Pada 2006, daripada jumlah 6,287 kematian di jalan raya, 3,613 daripadanya adalah penunggang dan pembonceng motosikal iaitu 58.7 peratus manakala pada 2007, 60 peratus daripada 6,745 kematian adalah penunggang dan pembonceng motosikal.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menjelaskan punca utama kemalangan dan kematian di jalan raya adalah sikap terburu-buru sehingga ada pemandu yang memasuki jalan pemandu lain, berhenti secara mengejut, mengekori kenderaan terlalu rapat dan melanggar arahan lampu isyarat.

Menurut beliau, bagi penunggang motosikal, satu punca utama berlaku kemalangan adalah ramai antara mereka yang berlagak seperti hero di jalan raya.

Sikap kebanyakan mereka yang mementingkan diri sendiri dan ada yang menganggap jalan raya itu milik mereka saja tambah memburukkan keadaan.

Di samping itu, kita harus menyedari bahawa kemalangan turut membabitkan kerugian dari segi kewangan negara. Contohnya, kajian Miros pada 2008 mendapati akibat kemalangan jalan raya, negara mengalami kerugian RM7.8 bilion iaitu 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kerjasama pelbagai pihak tentunya akan dapat mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.

Slogan ‘Pandu Cermat Jiwa Selamat’, ‘Kelajuan Membawa Padah’ sebenarnya sudah cukup untuk mendidik pengguna jalan raya, tetapi oleh kerana ramai antara mereka yang memandang remeh slogan ini, maka kita banyak membuang masa, wang dan tenaga mempraktikkan kaedah lain.

0 comments:

Post a Comment