27 January 2012

Liverpool lontar amaran


KAPTEN, Steven Gerrard (kiri) dan rakan-rakan sepasukannya meraikan kejayaan Liverpool mara ke final Piala Liga selepas menyingkirkan City kelmarin.


LONDON - Penyerang Liverpool, Dirk Kuyt melaungkan amaran bahawa Manchester United bakal menjadi mangsa terbaharu mereka di Anfield.

Skuad The Reds bakal melayan kunjungan United menjelang aksi pusingan keempat Piala FA di Anfield malam ini.

Kelmarin, Liverpool tampil bergaya apabila mara ke pentas final Piala Liga selepas menyingkirkan pendahulu Liga Perdana England, Manchester City pada aksi separuh akhir.

Kejayaan tersebut hadir selepas skuad kendalian Kenny Dalglish itu menang dengan agregat 3-2 hasil kemenangan 1-0 pada aksi pusingan pertama sebelum mencatat keputusan seri 2-2 pada aksi kedua kelmarin.

Justeru, Kuyt percaya, dia dan rakan-rakan sepasukan yang lain kini berada pada tahap prestasi terbaik bagi menumbangkan satu lagi kelab gergasi Manchester iaitu United.

"Percayalah, pemain-pemain semua sudah bersedia bagi berdepan United.

"Ia pasti akan menjadi sesuatu yang hebat sekiranya kami berjaya menewaskan United seperti mana yang kami lakukan ke atas City.

"Pada pertemuan dengan City, kami telah meletakkan sasaran kami yang tersendiri. 

"Justeru, kami hanya perlu pastikan yang kami akan bekerja keras seperi mana ketika berdepan dan melakukan yang terbaik.

"Ketika menentang City, kami telah mempamerkan suatu persembahan berpasukan yang baik. Kami memang berhak layak ke pentas final," kata Kuyt.

Pada pertemuan menentang City, anak- anak buah Dalglish menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila kembali bangkit biarpun dua kali ketinggalan.

Kejayaan menumbangkan City, sekali gus memadam episod duka skuad The Reds yang tewas mengejut 1-3 di tangan Bolton Wanderers dalam saingan liga Sabtu lalu.

Kini, Liverpool diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menjulang Piala Liga apabila dijangka tidak berdepan halangan sukar untuk menewaskan Cardiff City pada aksi final nanti. - Agensi

0 comments:

Post a Comment