29 January 2012

Liga Arab kemuka inisiatif baru

KAHERAH 29 Jan. - Setiausaha Agung Liga Arab, Nabil al-Arabi akan meminta sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk satu rancangan Arab yang bertujuan mencapai peralihan kuasa secara aman di Syria.

"Inisiatif Arab ini menggambarkan rejim Syria akan melepaskan kuasa secara aman," kata al-Arabi sebelum berlepas ke New York, hari ini.

Rancangan itu menetapkan tempoh peralihan kuasa selama dua bulan kepada sebuah kerajaan perpaduan di Syria, manakala Presiden Bashar al-Assad akan memberi kuasa penuh kepada Naib Presiden beliau untuk bekerjasama dengan kerajaan itu.

Syria telah menolak cadangan tersebut dengan alasan ia mencabul kedaulatannya.

Bagaimanapun al-Arabi berkata, Liga Arab menghubungi dua sekutu utama Syria, China dan Rusia bagi mendapatkan sokongan mereka terhadap rancangan itu.

Beliau dan Perdana Menteri Qatar, Hamad bin Jassim yang mengetuai sebuah jawatankuasa Liga Arab mengenai Syria, dijadual membincangkan rancangan tersebut dengan para diplomat di Majlis Keselamatan PBB.

Liga Arab, semalam menggantung misi pemerhatinya di Syria disebabkan keganasan yang semakin meningkat.
Lebih 5,400 orang terbunuh di Syria sejak pemberontakan puak prodemokrasi menentang rejim Assad bermula pada Mac lalu, lapor PBB.

Namun, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Navi Pillay pada Khamis lalu berkata, badan dunia itu tidak lagi dapat menghitung angka kematian di Syria kerana keganasan semakin menjadi-jadi. - dpa

0 comments:

Post a Comment