19 January 2012

Kadar gaji minimum swasta dalam 2 bulan

Subramaniam
IPOH - Kerajaan pusat dijangka akan mengumumkan kadar gaji minimum bagi sektor swasta dalam tempoh dua bulan lagi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pengumuman itu terpaksa ditangguhkan beberapa kali bagi membolehkan kaji secara menyeluruh dijalankan.

Menurut Subramaniam, kerja awal kajian berhubung pelaksanaan skim gaji minimum telah dijalankan dan hasilnya akan dikemukakan kepada Kabinet bagi mendapat kelulusan sebelum dibentangkan ke Parlimen dalam tempoh terdekat.

Subramaniam berkata secara prinsipnya, semua pihak yang berkenaan telah bersetuju terhadap pelaksanaan skim gaji minimum itu dan menjangka ia akan dibentangkan di Parlimen pada Mac ini.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Peranan Kesatuan Sekerja Dalam Menjadikan Malaysia Negara Berpendapatan Tinggi di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau juga berkata, kerajaan yakin skim gaji minimum dalam sektor swasta hanya akan memberi sedikit kesan negatif tidak langsung kepada orang ramai jika ia dilaksanakan kelak.
Katanya, kajian oleh kementerian itu mendapati walaupun ada sedikit kesan tidak langsung, ia tidak menimbulkan isu besar seperti kenaikan harga barang keperluan.
 
"Kita telah membuat kajian dan mendapati walaupun ada kesan yang sedikit dan tidak langsung, ia tidak akan menjadi isu besar kerana orang ramai akan menikmati lebih banyak kebaikan yang mendatang hasil pelaksanaan skim gaji itu berbanding masalah lain yang dihadapi," katanya.

0 comments:

Post a Comment