14 January 2012

Asia Tengah selepas Asia Barat

Kebangkitan rakyat di negara-negara Asia Barat dan Afrika Utara yang bermula sejak hujung tahun lalu didorong faktor domestik yang sama bagi semua negara, iaitu pemerintahan autoritarian yang berdekad dan berciri dinastik.
Pemerintah yang berpusat pada satu figura kuasa mengaut kekayaan dan pelbagai manfaat untuk diri dan keluarga, dan pada masa sama pelbagai masalah sosio-ekonomi rakyat teramai kurang, sekiranya ada, diberi perhatian.
Selepas lama tertangguh, kebangkitan berlaku di dunia Arab dengan tujuan dipersetujui semua untuk mendapatkan hak demokratik seperti yang sepatutnya.
Negara-negara Arab di Afrika Utara dan Asia Barat walau bagaimanapun bukan satu-satunya kelompok negara serantau yang mempunyai ciri-ciri tersebut.
Selepas dunia Arab, rantau Asia Tengah ialah bahagian dunia Islam yang paling memerlukan perubahan pemerintahan, dan sekaligus sistem yang membina negara-negara terbabit seperti yang dilihat hari ini.
Seperti juga dunia Arab, negara-negara majoriti Muslim di Asia Tengah terdiri daripada Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Kyrgyzstan dan Tajikistan telah melalui sejarah panjang diperintah pemimpin kuku besi yang ada mencapai status kultus.
Hal yang sama juga berlaku di rantau Kaukasus melibatkan Azerbaijan yang majoriti penduduknya beragama Islam, dan negara lain yang merupakan bekas republik Soviet.
Tiga negara rantau Asia Tengah, Kazakhstan, Uzbekistan dan Turkmenistan menjadi pemegang sumber minyak dan gas yang besar, dan kesemuanya menjadi laluan penting untuk pengangkutan bahan tersebut ke pasaran.
Pemimpin utama memegang segala aparatus negara, menguasai bisnes utama bersama keluarga, menutup hampir segala ruang bagi media yang bebas dan aktiviti pembangkang dan menjadi alat kuasa asing melaksanakan agenda, pada masa sama memerah manfaat daripada kuasa-kuasa tersebut.
Kyrgyzstan walau bagaimanapun telah menyaksikan perubahan awal tahun lalu apabila pemimpin lama, Presiden Kurmanbek Bakiyev dijatuhkan dalam satu kebangkitan rakyat.
Bakiyev digantikan oleh Roza Otunbayeva, yang sedang memimpin negara itu melalui tempoh perubahan yang masih belum dapat dipastikan hasilnya.
Malah tidak mustahil perubahan ke arah lama boleh berlaku, memadam sedikit perubahan yang diperolehi hasil kebangkitan rakyat, seperti yang berlaku di Ukraine apabila pemimpin baharu dinaikkan Revolusi Jingga pada 2004 dijatuhkan kembali oleh pemimpin lama.
Di bawah Bakiyev, pemerintah dan keluarga terutama anak lelakinya Maxim Bakiyev membolot satu bahagian besar peluang perniagaan di Kyrgyzstan.
Di Kazakhstan, negara terbesar Asia Tengah, Presiden Nursultan Nazarbayev – yang diberi gelaran “pemimpin negara,” menegaskan kedudukan beliau di puncak kuasa seperti Lee Kuan Yew di Singapura – telah memimpin sejak keruntuhan Kesatuan Soviet dan kemunculan Kazakhstan sebagai negara merdeka pada 1991.
Negara jiran di utara, Uzbekistan juga dipimpin seorang pemimpin sejak merdeka pada 1991. Presiden Islam Karimov dikenali semua sebagai pemimpin paling ganas di Asia Tengah.
Karimov memimpin dengan kuku besi, membina rekod hak asasi manusia yang terburuk di Asia Tengah dengan menjadikan alasan ancaman “militan Islam,” perkara yang mendapatkannya sokongan daripada kedua-dua Amerika Syarikat dan Rusia.
Turkmenistan pula diperintah Presiden Gurbanguly Berdymukhammedov sejak menang pilihan raya presiden yang secara praktikal tidak mengemukakan pilihan lain pada Februari 2007, menggantikan Saparmurat Niyazov yang meninggal dunia setahun sebelum itu.
Niyazov, seperti rakan sejawatan di Asia Tengah, menguasai Turkmenistan sejak menjelang kejatuhan Kesatuan Soviet melalui Parti Komunis negara itu.
Di bawah Niyazov, beliau menjadi pemimpin kultus yang imej dan namanya tersebar ke seluruh negara.
Tidak banyak perubahan bermakna berlaku di bawah presiden baharu, yang sekadar meneruskan sistem sedia ada yang terbina di atas asas-asas budaya politik Soviet yang berpusat pada satu kuasa.
Di Tajikistan, Emomali Rakhmon pertama kali memenangi jawatan presiden pada 1994, selepas menguasai negara sejak 1992 ekoran pemimpin pertama, Rahmon Nabiyev meletak jawatan.
Rakhmon kini menjawat jawatan presiden untuk penggal ketiga – untuk tempoh tujuh tahun – selepas menang lagi pada 2006. Seperti di negara Asia Tengah lain, pilihan raya tidak bebas dan adil, meneruskan budaya kuku besi sejak era Komunis.
Azerbaijan, negara Kaukasus yang terlibat dalam politik tenaga dan kuasa besar Asia Tengah dipimpin Presiden Ilham Aliiyev sejak 2003, selepas bapanya Heydar Aliyev meninggal dunia.
Kekangan terhadap demokrasi dan hak asasi manusia menjadi satu pendorong untuk rakyat di Asia Tengah bangkit menuntut perubahan, walaupun sukar berdepan dengan rejim yang kurang mengambil kira faktor kemanusiaan.
Penggunaan ancaman gerakan Islam telah membantu mengukuhkan sokongan Barat dan Rusia kepada negara-negara terbabit, walaupun kedua-dua kuasa besar tetap bersaing di arena politik dan ekonomi rantau penting ini.
Sumber hidrokarbon yang banyak di rantau itu juga menjadikan mereka rakan kuasa-kuasa kapitalis Barat dan Timur, termasuk China, satu lagi kuasa utama serantau.
Barat, Rusia dan China menggunakan hubungan dengan negara-negara di Asia Tengah untuk mengukuhkan pengaruh masing-masing.
AS menyokong rejim-rejim di Asia Tengah ekoran kehadirannya membina pangkalan tentera pasca-11 September, 2001.
Rusia dan China menggunakan pertubuhan serantau seperti Pertubuhan Kerjasama Shanghai, SCO, dan Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif, CSTO, untuk kepentingan sendiri.
Semua negara Asia Tengah kecuali Turkmenistan ialah ahli SCO dan CSTO yang masing-masing didominasi China dan Rusia.
Pertubuhan serantau dikuasai China dan Rusia itu menurut perspektif Barat menjadi penghalang utama demokrasi dan hak asasi manusia di Asia Tengah, antaranya disebabkan perlindungan daripada dua negara penaung terbabit.
Tetapi pada masa sama, AS dan Eropah turut memberi sokongan dan membina hubungan dengan rejim-rejim itu disebabkan pelbagai kepentingan, termasuk persaingan dalam sektor tenaga dengan Rusia dan China.
Berbanding semua tempat di dunia, rantau Asia Tengah boleh dikatakan medan persaingan model ekonomi kapitalisme autoritarian dengan model Barat yang paling getir.
Barat, Rusia dan China masing-masing mempunyai kepentingan untuk melihat rejim sedia ada terus kekal selagi kepentingan mereka terpelihara.
AS dan Eropah walau bagaimanapun tetap menjadikan demokrasi dan hak asasi sebagai alat penting dalam persaingan dengan Rusia dan China.
Kesemua kuasa ini tidak dapat dielakkan daripada terlibat sama dalam sebarang perkembangan.
Era perubahan yang telah disaksikan di Asia Barat dan Afrika Utara telah membuktikan penentangan terhadap rejim diktator tidak mustahil dilakukan, dengan kesan yang boleh membuka ruang kepada perubahan yang lebih mendasar.
Prospek angin perubahan yang melanda dunia Arab sampai ke Asia Tengah merupakan satu yang menarik. Sampai masanya rakyat tertindas di wilayah itu menikmati perubahan.

0 comments:

Post a Comment