14 January 2012

Dunia pasca-Konsensus Washington

Perkembangan sejak penghujung 1990-an telah menyaksikan pelbagai perubahan dalam imbangan kuasa dan pengaruh kuasa-kuasa ekonomi dunia.
Selain kumpulan lapan negara industri G8, perhatian dunia kini semakin banyak tertumpu pada G20, kumpulan 20 negara maju dan membangun.
Peningkatan kekuatan negara seperti China, Brazil dan India pula telah mengubah peranan dalam kalangan negara-negara penyumbang dan penerima bantuan.
Negara pesat membangun mula menjadi sebahagian penyumbang bantuan, termasuk kepada negara-negara Eropah yang dilanda krisis ekonomi.
Kekuatan ekonomi itu menjadikan mereka semakin perlu diambil kira dalam pembuatan keputusan.
Negara pesat membangun kini semakin asertif dan selesa dengan peranan lebih besar dalam sistem global.
China, gergasi ekonomi Asia yang semakin mencabar Amerika Syarikat dan sekutunya dari segi ekonomi dan politik semakin menuntut kedudukan lebih tinggi dalam sistem ekonomi dan kewangan global.
Mata wang yuan, yang walaupun masih tidak menarik berbanding mata wang utama dunia yang lain, semakin giat diantarabangsakan oleh Beijing, untuk mengiringi peningkatan kedudukannya di persada global.
Selepas dua krisis ekonomi dan kewangan besar melanda dunia, yang dikaitkan dengan sistem yang dibina dan dipaksakan oleh kuasa-kuasa Barat, negara-negara yang pesat meningkat naik semakin menuntut peranan lebih luas.
Dunia membangun kini lebih mampu untuk menolak preskripsi dan model yang ditentukan oleh kuasa-kuasa ekonomi Barat.
Kepesatan kemajuan dan peningkatan kekayaan China menjadi hal yang semakin mencabar pengaruh kuasa-kuasa sedia ada, sama ada negara mahupun institusi global.
Walau bagaimanapun, model pembangunan neoliberal yang menuntut liberalisasi yang sering tidak sehaluan dengan kepentingan rakyat terbanyak kini masih diletakkan di sebelah garisan yang positif dalam wacana politik dan ekonomi global.
Persaingan kuasa besar di negara bekas Soviet sejak 2003 menjadikan model pembangunan sebagai satu tajuk besar, meletakkan terus model pasaran bebas sebagai pilihan yang sewajarnya dan selain itu sebagai ke arah autoritarian.
Imej simplistik itu menjadi satu bahagian besar cerita geopolitik yang lebih luas itu, yang kini semakin terbukti bukan seperti yang digambarkan ketika persaingan sedang hangat dulu.
Pemilihan haluan model Barat jelas tidak langsung menjadikan negara terbabit lebih demokratik, telus dan bersih.
Model yang dikaitkan dengan China, digelar Konsensus Beijing diletakkan di kutub bertentangan, dengan kepimpinan politik autoritarian disifatkan menjadi ciri utamanya.
Hal ini sebahagiannya sukar untuk dinafikan, terutama memandangkan realiti yang disaksikan di medan pelaburan China di Afrika.
Tetapi bukan hanya dua kutub bertentangan ini yang sepatutnya menjadi pilihan negara-negara membangun dalam mengurus dan mengendalikan pembangunan negara.
Perkembangan terkini telah membuktikan AS dan dunia Barat semakin menyedari kemerosotan kuasa dan pengaruhnya berbanding kuasa-kuasa lain.
Seperti disaksikan di Asia Barat, peningkatan kuasa Turki semakin menjadi realiti yang perlu diterima kuasa-kuasa Barat, dan perlu diimbangi dengan sokongan mereka terhadap Israel pada tahap tertentu.
Kuasa lain tidak dapat dielakkan daripada mengambil peluang untuk kepentingan masing-masing, yang bermakna pemain-pemain berpengaruh semakin bertambah.
Tetapi, peningkatan jumlah pemain berpengaruh tidak semestinya akan menolak dan bertentangan dengan kepentingan kuasa-kuasa Barat di wilayah itu.
Kepentingan bersama tetap akan dipelihara dan menjadi persetujuan untuk dilindungi bersama.
Dalam persaingan melibatkan model pembangunan, Barat turut menyedari dunia yang semakin berubah kini memaksa mereka menerima pemain-pemain baharu yang berpengaruh.
Kuasa ide dan intelektual dunia lain turut bersaing untuk mengambil bahagian masing-masing.
Kuasa seperti China dan lain-lain tidak semestinya bertentangan dalam semua hal dengan kuasa kapitalis Barat, apabila negara Asia itu menjadi salah sebuah pemain yang berkepentingan untuk melihat sistem sedia ada diteruskan.
Penglibatan China dalam membina semula dan mengukuhkan sistem sedia ada akan turut menjadikannya berkepentingan meneruskannya.
Dunia pasca-Konsensus Washington  tidak semestinya anti-Washington.
Dalam hal ini, dunia membangun perlu menuntut peranan dan bahagian mereka dan tidak membiarkan kuasa-kuasa tertentu sahaja yang membina peraturan dan konsensus yang mencorakkan dunia itu.

0 comments:

Post a Comment