18 January 2012

Dalang cetek agama

IPOH: Kejadian artis, ahli perniagaan, ahli politik mahupun orang kebanyakan yang terkena santau atau ilmu sihir, perlu dipandang serius berikutan ia kian kerap berlaku sejak kebelakangan ini.
Perkara itu diakui pengamal perubatan Islam, Ustaz Hanafi Abdul Malek yang menyifatkan ‘kerja’ sihir itu didalangi individu yang cetek pengetahuan agama dan hatinya dikuasai syaitan. Menurutnya, sifat segelintir orang Melayu yang mudah dikuasai perasaan hasad dengki, iri hati dan tidak senang dengan kejayaan individu lain menyebabkan amalan sihir masih berlaku.

“Sejak kebelakangan ini, semakin ramai individu termasuk ahli politik yang datang berjumpa saya mengadu mengalami pelbagai penyakit pelik termasuk memuntahkan objek pelik dari dalam badan.
“Perbuatan sihir ini bukan hanya membabitkan orang Melayu, malah turut merebak kepada kaum Cina yang turut percaya terhadap amalan sihir,” katanya yang menggunakan limau dan ayat suci al-Quran untuk menyembuhkan pesakitnya.

Beliau berkata, amalan syirik itu masih berterusan berikutan kerja sihir didapati berhasil untuk merosakkan hidup mangsa yang dijadikan sasaran.

Menurutnya, gangguan kuasa jahat itu boleh diatasi dengan kaedah tertentu yang sesuai dengan Islam seperti mengamalkan ayat al-Quran yang menjadi pendinding diri.
“Seseorang itu kena beramal terlebih dulu kerana orang yang tidak beramal, walaupun dibaca ayat al-Quran tidak akan memberikan kesan mujarab,” katanya.

0 comments:

Post a Comment