18 January 2012

Culik, bunuh

JOHOR BAHARU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan menculik dan membunuh seorang ahli perniagaan warga Singapura di bandar raya ini, November lalu.
S Periasamy, 36, dituduh dengan niat menahan Sim Chee Yong, 56, dengan cara melarikan dan menghalang mangsa bagi mendapatkan tebusan sebanyak RM800,000 di Jalan Tun Abdul Razak, di sini, pada jam 11 malam, 26 November tahun lalu.

Dia turut dituduh dengan niat membunuh Sim di muara Sungai Kong Kong, Masai pada jam 3 pagi, 30 November sehingga 11.30 pagi, 1 Disember lalu.
Dia bersama-sama lima yang lain yang sudah dituduh di mahkamah ini pada 11 Januari lalu.

Pertuduhan pertama mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Periasamy mengangguk faham terhadap kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Isa Mohamad namun tiada pengakuan direkodkan. Mahkamah menetapkan 1 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik. - Bernama

0 comments:

Post a Comment