15 January 2012

Anggota JPJ cedera dirempuh mat rempit cuba melarikan diri

MELAKA 15 Jan. - Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri cedera di tangan kanan akibat dirempuh motosikal seorang mat rempit yang cuba melarikan diri daripada ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Pengkalan Rama di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, Utusan Malaysia difahamkan, anggota JPJ tersebut cuba menahan mat rempit berusia 20 tahun itu selepas dia menunggang motosikal melawan arus sebaik sahaja menyedari terdapat sekatan jalan raya di hadapan.
Penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC itu bagaimanapun enggan berhenti, sebaliknya terus memecut motosikalnya menyebabkan ia merempuh anggota JPJ itu sebelum hilang kawalan dan terjatuh.
Sebaik sahaja ditahan, pemuda itu didapati tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh menyebabkan motosikalnya disita.
Ketua Seksyen Penguat Kuasa JPJ negeri, Rahmat Sayuti berkata, sebanyak 71 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap pemandu kenderaan dan penunggang motosikal dalam Ops Sikal bagi membanteras lumba haram di negeri ini bermula pukul 9 malam dan berakhir pukul 12 tengah malam.
Beliau berkata, antara kesalahan dikesan dalam operasi membabitkan 37 anggota termasuk pegawai itu adalah menunggang motosikal dan memandu tanpa lesen, cukai jalan tamat tempoh, penggunaan cermin gelap dan lampu High Intensity Discharged (HID), selain kenderaan yang diubah suai tidak mendapat kelulusan dan mengeluarkan bunyi bising.
"Sebanyak 15 motosikal dan sebuah kereta disita kerana tidak mempunyai insurans serta cukai jalan tamat tempoh serta penunggang tidak mempunyai lesen memandu.
"Selain, kita juga mengeluarkan 10 notis larangan penggunaan kenderaan kerana menggunakan lampu HID dan 12 notis arah periksa bagi kesalahan penggunaan cermin gelap," katanya selepas operasi itu.

0 comments:

Post a Comment