15 January 2012

Tertembak muka sendiri

KUCHING: Seorang pekerja kuari cedera parah di muka akibat terkena tembakan pistol milik bapanya, seorang anggota trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan, semalam.
Kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku di rumah mangsa di kuarters IPD Kota Samarahan apabila mangsa berusia 24 tahun dikatakan secara tidak sengaja tertekan picu senjata api jenis revolver .38 berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Asisten Superintendan Abdul Rahman Ahmad, berkata mangsa dipercayai bermain dengan pistol milik bapanya sebelum secara tidak sengaja tertembak tepat di bahagian dagu hingga menembusi hidungnya.
“Ketika kejadian, bapa mangsa tidak bertugas dan hanya menyedari kejadian itu sebaik mendengar bunyi tembakan dari arah bilik mangsa.

“Mangsa terkena tembakan peluru senjata berkenaan dan kini mengalami pendarahan di dagu dan leher. Keadaan mangsa belum dapat dipastikan kerana masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 309 kerana cuba melakukan kesalahan membunuh diri.
 “Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu termasuk mengambil keterangan ibu bapa mangsa,” katanya

0 comments:

Post a Comment