28 January 2012

Rakyat Filipina bantah kehadiran tentera AS


MANILA 28 Jan. - Aktivis Filipina hari ini mengadakan protes di pekarangan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini dan berikrar akan melancarkan kempen menentang rancangan membenarkan lebih ramai tentera AS ditempatkan di negara ini.

Kumpulan penunjuk perasaan itu turut membakar bendera AS dan mempersendakan pesawat pengebom menggunakan teknologi kalis radar milik AS.

Kira-kira 50 anggota berhaluan kiri dari Perikatan Kebangsaan Baru (Bayan) turut membawa patung besar Uncle Sam bersama sebuah patung Presiden Benigno Aquino yang dilabelkan sebagai 'anjingnya' ketika polis antirusuhan cuba menghalang mereka.

"Jika kita benarkan lebih banyak tentera AS memasuki negara kita, seluruh kepulauan Filipina akan berubah menjadi 'kem besar' tentera untuk kepentingan pengaruh AS," kata Bayan dalam satu kenyataan yang diedarkan pada perhimpunan itu.

Pegawai Filipina sebelum ini menyambut baik rancangan untuk meningkatkan lagi kehadiran tentera AS di negara ini, sesuatu yang dilihat sebagai reaksi kepada tindakan agresif China di Laut China Selatan.

China dan Filipina terlibat dengan pertikaian berhubung kepulauan Spratly dan Manila menuduh Beijing menggunakan kaedah intimidasi untuk menekankan tuntutannya.

Filipina sebelum ini pernah menjadi pangkalan besar tentera AS sehinggalah ditutup ekoran mendapat tentangan daripada pihak pembangkang seperti Bayan pada 1992.

Menurut pegawai kedua-dua negara, mereka tidak berminat untuk mewujudkan pangkalan tentera AS yang baru tetapi lebih kepada latihan bersama. - AFP

0 comments:

Post a Comment