17 January 2012

Lepas gian dalam surau

KOTA BHARU: Tiga lelaki yang ditahan akibat menagih pil kuda bersikap keji apabila sanggup menggunakan sebuah surau di pusat snuker haram dekat Pasir Tumboh, di sini, sebagai tempat melepaskan gian.
Dalam operasi bersepadu Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada jam 1 pagi, kelmarin, tiga lelaki berusia 20, 26 dan 28 tahun itu ditahan dalam keadaan khayal di surau berkenaan, malah beberapa biji pil kuda ditemui di lantai surau.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Mohd Anis Hussin berkata, serbuan ke pusat snuker haram itu dibuat selepas menerima aduan daripada orang ramai.
“Ketika serbuan dilakukan, tiga lelaki itu ditemui dalam keadaan khayal di dalam surau. Ia sesuatu yang mengejutkan kerana mereka sanggup menggunakan surau sebagai tempat melepaskan gian.

“Perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan perlu dibanteras habis-habisan sebelum menjadi semakin parah,” katanya.

Menurutnya, seramai 10 pengunjung dan pekerja pusat snuker itu ditahan untuk menjalani ujian air kencing yang dilakukan pegawai AADK.
“Tiga daripada 10 pengunjung itu, iaitu lelaki yang khayal di dalam surau didapati positif dadah jenis methamphetamine. “Mereka yang positif dadah ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Kawalan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

0 comments:

Post a Comment