25 January 2012

Ketua Pemuda Pas khuatir ada ‘tikam belakang’

SHAH ALAM – Pemuda Pas khuatir sekiranya berlaku perbuatan ‘tikam belakang’ oleh pihak tertentu sama ada dari parti itu mahupun dalam Pakatan Rakyat (PR) ekoran tidak bersetuju dengan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi sebagai Exco Adat Resam, Belia dan Sukan, kelmarin.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, pemimpin dan penyokong PR yang tidak berpuas hati perlu menerima seadanya calon itu bagi melicinkan urusan pentadbiran negeri.

“Nasihat saya, jangan pinggir beliau (Ahmad) yang dilantik Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim selepas mendapat persetujuan semua pihak. Satu lagi, jangan buat perkara tidak baik seperti boikotnya kerana boleh menjejaskan program dirancang nanti untuk kebaikan kerajaan Selangor.

“Saya bimbang sekiranya mimpi ini jadi kenyataan dan timbul protes daripada mereka tidak suka kepada calon yang dilantik. Apa pun, paling penting, kita jangan khianatinya dan biarlah beliau menjalankan tugas serta amanah yang diberikan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataannya di laman sosial berbunyi, 'Kalau hendak berkawan biar tahu membaca ragam. Kalau hendak berkawan biar tahu membuka gelanggang. Pas kawan siang dan malam, tetapi kenapa maruahnya dilagang.'

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, beliau menulis perkara ini supaya dijadikan peringatan kepada semua dan mereka yang tidak bersetuju dengan pelantikan itu perlu menerimanya dengan hati terbuka.

Beliau berkata, sekiranya ‘ramalan’ ini benar-benar berlaku, ia boleh menimbulkan pelbagai masalah dan turut merumitkan keadaan.

“Fokus sekarang, Ahmad perlu laksanakan amanah dan tugas yang diberikan terutama untuk menarik golongan muda mendekati kerajaan Pakatan melalui pelbagai aktiviti dianjurkan seperti sukan.

“Kami tidak kisah siapa pegang jawatan itu dan berprinsip tidak mahu campur tangan dalam urusan berkenaan. Itu hak menteri besarnya dan dan ia tidak penting untuk kami berbuat demikian,” katanya.

0 comments:

Post a Comment