27 January 2012

Ivory Coast isi slot suku akhir


KALOU (tengah) bersama rakan-rakan sepasukan meraikan jaringannya ketika menentang Burkina Faso 2-0 di Franceville kelmarin.


LIBREVILLE - Ivory Coast kini berada di landasan terbaik bagi meraih gelaran kedua selaku juara Kejohanan Bola Sepak Piala Negara-Negara Afrika dalam tempoh 20 tahun apabila menempah tiket ke suku akhir selepas membenam Burkina Faso 2-0 di Franceville kelmarin.

Salomon Kalou berjaya meledak gol pembukaan Ivory Coast pada minit ke-16 selepas menyudahkan hantaran kapten, Didier Drogba sebelum pemain Burkina Faso, Bakary Kone menjaringkan gol sendiri lapan minit sebelum perlawanan berakhir.

Pada aksi pembukaan Ahad lalu, skuad The Elephants itu meraih kemenangan 1-0 ke atas Sudan, sekali gus membolehkan mereka mengutip enam mata maksimum bagi mengungguli Kumpulan B.

Selain Ivory Coast, tuan rumah, Equatorial Guinea turut mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya apabila menewaskan Senegal 2-1.

Pengurus Ivory Coast, Francois Zahoui ternyata berpuas hati dengan persembahan barisan pemainnya selepas kejayaan mara ke peringkat suku akhir.

"Apa yang penting adalah untuk mencapai matlamat kami memenangi perlawanan hari ini (kelmarin). 

"Kami menghadapi satu pasukan yang terdesak untuk mencari kemenangan selepas mereka tewas pada perlawanan pertama.

"Burkina telah banyak memberikan masalah kepada kami tetapi kami kekal tenang dan sabar. Kami juga terpaksa bertahan dan menyerang pada waktu yang sesuai," kata Zahoui.

Biarpun telah menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik, Zahoui tetap menganggap anak-anak buahnya masih belum menampilkan aksi terbaik.

"Masih ada yang perlu diperbaiki tetapi apa yang lebih penting, kami maju setapak lagi. 

"Saya mempunyai pemain yang berpengalaman dan mereka semua sedar bahawa perkara yang paling utama adalah untuk muncul juara," ujarnya.

Sementara itu, jurulatih Burkina Faso, Paulo Duarte menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka.

"Kami berjaya menguasai sebahagian perlawanan tetapi tewas kepada suatu kesilapan dan gol sendiri.

"Kami bermain dua permainan yang besar tetapi tidak memiliki sebarang mata," katanya. - AFP

0 comments:

Post a Comment