17 January 2012

Bebola konkrit di landasan halang “penumpang bumbung”

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia telah mengambil beberapa langkah yang melampau untuk menghalang penumpang duduk di atas bumbung kereta api - daripada dengan menyembur penumpang terbabit dengan cat merah, memohon bantuan ketua agama dan menakutkan mereka dengan menggunakan anjing.
Kali ini mereka mengambil langkah yang lebih drastik lagi: menggantung berbaris bebola konkrit di atas landasan kereta api, beberapa inci di atas bumbung kereta api di tempat strategik di mana keretapi masuk atau keluar dari stesen atau ketika melalui lintasan.
Pihak berkuasa berharap, bebola konkrit sebesar anggur itu - yang boleh menyebabkan kecederaan serius di kepala - akan dapat menghalang penumpang bumbung yang degil.

Jurucakap syarikat T Kereta Api kepunyaan kerajaan, Mateta Rizahulhaq berkata, “Kami telah cuba hampir semua cara, hingga meletakkan bergulung kawat duri tapi semuanya tidak berkesan.”


Laluan kereta api tinggalan penjajah Belanda enam dekad lalu, yang tidak diselenggara dengan baik, biasanya penuh dengan penumpang, terutama pada waktu puncak.

Beratus-ratus penumpang yang mahu mengelakkan gerabak yang penuh, memanjat ke bumbung.

Sebahagiannya cuba mengelak daripada membayar tambang, yang lain pula kerana - walaupun berbahaya di mana beberapa orang mati atau tercedera setiap tahun - menganggap “meluncur landasan” itu sesuatu yang menyeronokkan.

Kumpulan bebola konkrit yang pertama dipasang semalam sepanjang beberapa meter dari pintu masuk stesen kereta api tidak jauh dari Jakarta.

Mateta berkata, sekiranya berjaya, projek itu akan diperluaskan.

Ditanya mengenai kemungkinan ia boleh menyebabkan kematian, dia berkata, itu bukan masalahnya. - Jakarta Post

0 comments:

Post a Comment