4 February 2012

Pembunuhan kejam terhadap ibu dua anak

Mayat wanita yang dibunuh di tempat letak kereta dekat sebuah pasar raya di Seri Kembangan, Selangor, semalam. -CHINA PRESS


PETALING JAYA 4 Feb. - Kebimbangan seorang suami apabila isterinya tidak pulang ke rumah selepas waktu bekerja berakhir dengan tragedi apabila wanita itu ditemui dibunuh dengan kejam dalam kereta, berdekatan sebuah pusat beli-belah di Seri Kembangan, semalam.

Mayat Goh Chew Peng, ibu kepada dua anak itu ditemui sendiri oleh suaminya di tempat letak kereta pusat perniagaan itu, kira-kira pukul 9 malam setelah dia mencari isterinya.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias, wanita berusia 39 tahun itu bekerja di bangunan berhampiran dan sering meletakkan kereta jenis Honda City di pusat beli belah berkenaan.

Katanya, pembunuhan kejam itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 8 malam ketika hujan lebat dan mangsa meninggal akibat ditikam di leher kiri.

Difahamkan, mangsa sepatutnya pulang ke rumah pada pukul 8 malam untuk makan malam bersama ahli keluarganya.

"Mangsa mati akibat ditikam di leher kiri. Selain itu, polis menemui kesan jerut dengan menggunakan dawai di leher wanita itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.

Setakat ini, polis tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut bermotifkan samun kerana barang berharga seperti dompet, telefon bimbit dan jam tangan yang dipakai oleh mangsa hilang.

Abd. Razak berkata, pemeriksaan pihaknya di tempat kejadian menemui sebilah pisau berukuran enam sentimeter.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya percaya perbuatan tersebut dilakukan oleh lebih dari seorang suspek malah mangsa juga kemungkinan sempat berkomunikasi dengan pembunuh di dalam kereta sebelum dia ditikam.

"Polis telah memeriksa CCTV ( kamera litar tertutup) di kawasan tempat letak kereta itu namun belum mendapat petunjuk yang boleh membantu siasatan," jelasnya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

0 comments:

Post a Comment