1 February 2012

Panik Sungai Longjiang dicemari logam kadmium


Seorang petugas kesihatan mengambil sampel air dari Sungai Longjiang di bandar Liuzhou, Guangxi, kelmarin. - REUTERS


SHANGHAI 31 Jan. - China menahan eksekutif-eksekutif tujuh syarikat selepas sebatang sungai dicemari unsur toksik logam kadmium, sekali gus mengancam sumber air minuman berjuta-juta rakyat negara ini.

Akhbar China Daily hari ini melaporkan, sisa buangan industri itu mencemari Sungai Longjiang di wilayah Guangxi sepanjang 100 kilometer, menyebabkan orang ramai yang panik membeli air minuman di bandar-bandar berdekatan.

Sebuah daripada syarikat terbabit, Jinhe Mining Co. dipersalahkan kerana membuang kadmium, sejenis karsinogen yang boleh merosakkan buah pinggang, tulang dan sistem pernafasan. Unsur logam itu dibuang ke dalam sungai tersebut pada 15 Januari lalu.

Kerajaan mengambil keputusan meluaskan lagi tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab membuang bahan tersebut dengan memeriksa lebih 10 kilang di sepanjang sungai dan menghentikan operasi tujuh buah kilang.

Pegawai alam sekitar tempatan, Feng Zhennian dipetik agensi berita Xinhua sebagai berkata, tujuh eksekutif yang dianggap bertanggungjawab di atas tindakan itu telah ditahan.

Menurut laporan tersebut, mereka adalah eksekutif yang bekerja di Guangxi, tetapi identiti mereka tidak didedahkan.
Pencemaran awal kadmium itu dikesan di bandar Hechi, tetapi kini merebak ke hilir sungai, mengancam sumber air minuman untuk 1.5 juta penduduk di bandar raya Liujiang.

Ia juga dijangka merebak ke bandar raya Liuzhou, yang mempunyai 3.7 juta penduduk.

"Masa sudah semakin suntuk kerana keselamatan sumber air minuman kini terancam," kata Datuk Bandar Hechi, He Xinxing seperti yang dipetik Xinhua.

Jurucakap bandar Hechi bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara tersebut ketika dihubungi. - AFP

0 comments:

Post a Comment