24 February 2013

Ramai yang Salah faham Di Antara Mahar Dan Wang Hantaran

Wang hantaran dan mahar merupakan satu perkara yang berbeza dan sering disalahertikan oleh sesetengah pihak. Wang hantaran itu harus, tetapi mahar itu wajib.

Apabila kita menyebut tentang hantaran, sudah pasti ada sebahagian golongan lelaki merungut tentang wang hantaran yang tinggi perlu diberi. Prinsip ajaran Islam itu mudah dan sederhana. Wang hantaran bukanlah sesuatu yang wajib diberikan kepada pengantin perempuan tetapi ia dibenarkan di dalam Islam sebagai bantuan kewangan untuk majlis perkahwinan dengan syarat selagi tidak melampau. Maksud melampau ialah sehingga membebankan bakal pengantin atau mereka yang berkaitan. Contohnya hingga terpaksa berhutang untuk menyediakan jumlah hantaran tersebut.

Berbeza dengan mas kahwin (mahar) yang merupakan satu pemberian wajib daripada seorang suami kepada isterinya. Malahan isteri dibenarkan menolak permintaan suami pada ‘malam pertama’ sekiranya bayaran mas kahwin masih belum diberikan.

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah s.w.t.  bermaksud : “Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka “. ( Surah An-Nisaa’ – Ayat 4 ) , Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi”. (Riwayat Bukhari ) .

Dari hadith di atas nyatalah bahawa mas kahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanafaat sebagaimana diberitakan Rasulullah s.a.w. pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin, lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat Al-Qur’an, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Rasulullah s.a.w. pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah “. ( Riwayat Abu Daud ) , Dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya “. ( Riwayat Ahmad )

Dalam situasi masyarakat sekarang, telah berlaku satu fenomena yang kontra. Pemberian wajib (mahar) diletakkan dalam jumlah yang terlalu sedikit sedangkan pemberian ‘hantaran’ yang harus diletakkan dalam jumlah yang tinggi. Wang hantaran inilah yang menjadi masalah kepada kaum lelaki sekarang untuk berkahwin. Masyarakat seolah-olah berlumba untuk meletakkan Wang hantaran paling tinggi kepada anak gadis mereka. Sikap sebegini dilarang oleh agama.

Masyarakat kita hari ini semakin hari semakin memberatkan dan menyulitkan perkahwinan dengan meletakkan hantaran perkahwinan yang tinggi. Jika ditakdirkan wanita tersebut mempunyai kelayakan ijazah tinggi, maka lagi tinggilah belanjanya. Bagi keluarga dan mungkin wanita itu sendiri, beranggapan bahawa dengan belanja yang tinggi, masyarakat akan memandangnya dengan nilai ‘value’ yang tinggi.

Apabila sudah ramai muslim yang berfikir dan bertindak sedemikian, mereka seperti “membudayakan” kebiasaan meminta ‘hantaran’ yang berlebih-lebihan.  Akibatnya ramai golongan muda  yang tidak mampu mendirikan rumah tangga, penyakit moral bertambah luas dan akhirnya banyak sekali lelaki dan wanita yang hidup merana disebabkan oleh” krisis perkahwinan”.
 
P/S - Kita mempunyai pilihan yang tersendiri. Tidak salah untuk meletakkan hantaran kepada pihak pengantin lelaki, tetapi ia perlulah berpatutan dan tidak membebankan bakal suami. Pihak lelaki pula, tidak boleh merungut kerana itu kehendak mereka, dan anggaplah ia sebagai hadiah. Jika tidak mahu, itu terpulang kepada keluarga di antara kedua-dua  pihak.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Agama

 

Halimislam Online 2011-2012. All Rights Reserved | Back To Top |