28 February 2013

Misteri Mayat Terapung di Pulau Ketam

Gambar Hiasan
Satu mayat lelaki dengan kecederaan di kepala telah ditemui oleh sekumpulan nelayan terapung berdekatan dengan Pulau Ketam di Klang. Mayat siapakah itu?

Sekumpulan nelayan yang menaiki bot terkejut sebaik menemui mayat seorang lelaki terapung dengan kesan luka di kepala ketika melalui kawasan perairan Pulau Ketam, di sini, semalam. Mayat lelaki terbabit ditemui jam 1.45 tengah hari sebelum pihak polis dimaklumkan kejadian berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, sebaik menerima maklumat, sekumpulan anggota Polis Marin dihantar ke tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan.

Katanya, mayat lelaki yang hanya berseluar pendek dan tidak berbaju itu dibawa ke Jeti Pangkalan Marin, Pulau Indah, di sini, sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

“Pemeriksaan awal mendapati terdapat luka di kepala mangsa yang berukuran kira-kira 3 inci dan mangsa dipercayai berusia lingkungan 30-an. “Namun, polis masih belum memperoleh butiran peribadi mangsa berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada seluar mangsa dan sekitar tempat mayat ditemui,” katanya.

Menurutnya, mangsa dipercayai mati kurang dari 24 jam berdasarkan keadaan mayat sewaktu ditemui namun polis masih menyiasat sama ada mangsa dibunuh atau tidak. Beliau berkata, setakat ini polis menyiasat dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR).
 
P/S– Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita akan kembali. Berkemungkinan besar mayat lelaki yang dijumpai ini adalah mangsa perbuatan jenayah. Banyak sungguh jenayah di Malaysia baru-baru ni. Nauzubillah. Semoga Allah melindungi diri kita dan keluarga daripada kejahatan jenayah semacam ini. Amin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Agama

 

Halimislam Online 2011-2012. All Rights Reserved | Back To Top |