24 February 2013

Memahami Konsep Sebenar Menjadi Hamba Allah

Sebagai hamba Allah, kita wajib menunaikan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang. Hamba Allah bila mana kita akui bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Dialah pencipta sekalian alam. 

Umat terbaik tidak sama dengan umat lain. Umat terbaik mempunyai sifat-sifat tertentu yang menjadikannya berupaya menjalankan misi hidup dengan jayanya. Umat terbaik adalah umat yang mengekalkan status hamba dalam menjalani kehidupan di dunia. Makna mengekalkan status hamba ialah umat Islam perlu melaksanakan segala yang diperintah oleh Allah iaitu menunaikan segala yang disuruh mengikut kemampuan dan meninggalkan segala yang dilarang secara mutlak.

Inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam menyifatkan orang beriman dalam firmanNya yang bermaksud:

“Dan tidaklah patut bagi lelaki mukmin dan tidak pula bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan RasulNya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata”. (Surah Al-Ahzab:36).

Kepatuhan ini juga telah diberitahu oleh Rasulullah s.a.w dalam sabda baginda yang bermaksud:

“Apa sahaja yang aku perintahkan kamu melakukannya, maka hendaklah kamu melakukannya mengikut keupayaan kamu, dan apa sahaja yang aku larang kamu daripada melakukannya hendaklah kamu tinggalkan secara mutlak”.

Perintah dalam bentuk suruhan yang ditetapkan oleh Allah dan RasulNya telah dikategorikan oleh para usuliyuun ke dalam kategori wajib dan sunat. Wajib membawa makna perkara yang mesti ditunaikan. Sekiranya ia diabaikan maka akan mendatangkan dosa. Manakala sunat membawa makna sekiranya ditunaikan akan diberikan ganjaran pahala dan sekiranya ditinggalkan tidak berdosa.

Namun kedua-duanya adalah perintah Allah. Perintah wajib mesti ditunai, manakala perintah sunat perlu diusahakan untuk menunaikannya. Natijah daripada menunaikan wajib dan sunat ialah pelakunya akan beroleh ganjaran pahala. Ganjaran ini hanya akan dianugerahkan sekiranya kedua-dua kategori perintah itu ditunaikan kerana Allah. Sekiranya ia ditunaikan kerana sebab-sebab lain sama ada sebab manusia atau kebendaan yang lain ia tidak dinilai sebagai pengabdian diri dan kosong daripada ganjaran.

Walaupun perintah dan larangan ini perlu dipatuhi oleh hamba secara ubudiyyah, namun ia adalah bermatlamatkan mendatangkan kebaikan kepada manusia. Semua perintah yang berbentuk suruhan adalah bertujuan mendatangkan maslahah kepada manusia sama ada pada agama, nyawa, akal, nasab atau harta. Manakala segala perintah berbentuk larangan adalah bertujuan untuk menghindarkan mafsadah melanda manusia sama ada pada agama, nyawa, akal, nasab atau harta. Al-Syatibi (1995) menjelaskan maslahah bukan sahaja terbatas dalam kehidupan di dunia, malah ia menjangkau ke alam akhirat.

Justeru, umat yang matang beragama akan sentiasa patuh menunaikan suruhan dan meninggalkan larangan yang terdapat dalam syariat Islam kerana mereka yakin semua akan mendatangkan kebaikan sama ada dalam jangka pendek atau jangka panjang.
 
P/S - Manusia dicipta oleh Allah SWT untuk beribadat kepadaNya. Kita dicipta bukan untuk bersuka ria dan berseronok di atas muka bumi. Kita ada tanggungjawab sebagai hamba Allah dan kita wajib untuk melaksanakan segala perintahNya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Agama

 

Halimislam Online 2011-2012. All Rights Reserved | Back To Top |