18 February 2013

Remaja Bakal Tunai Umrah Minggu Depan Terbunuh Dalam Kemalangan

KOTA BHARU – Hajat seorang remaja untuk menunaikan umrah Mac ini, tidak kesampaian apabila dia terkorban dalam nahas jalan raya selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah kereta dalam kejadian di jambatan Bunut Payong, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa Mohd Aiman Ibrahim, 17, bekas pelajar Ma’ahad Tahfiz Sains, Kok Lanas maut di tempat kejadian selepas dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala dan leher.

Mangsa dari Kota Bharu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Nilam Puri.

Sepupu mangsa, Rizwan Ramli, 29 berkata, dia amat terkilan kerana Mohd Aiman tidak sempat menunaikan umrah dalam masa terdekat ini.

Menurut Rizwan, sepatutnya Aiman bersama ibunya, Maznah Yusof, 50, dan adiknya, Muhammad Aidil Iman, 15, berangkat ke Tanah Suci pada minggu hadapan.

“Segala persiapan termasuk urusan visa telah pun siap dan hanya menantikan masa untuk berangkat ke sana, namun saya amat terkilan dan sedih selepas melihat mayatnya terbujur kaku di atas jalan selepas terlibat dalam kemalangan.

“Semalam (kelmarin) sebelum kejadian, saya sempat meluangkan masa bersamanya ke majlis kenduri pertunangan sepupu di Terengganu, dan sepanjang perjalanan dia tidak banyak bercakap dan hanya mendiamkan diri.

Tidak saya sangka perubahan itu merupakan petanda ajal dia akan pergi selamanya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superitendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Idris berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

“Kita masih menjalankan siasatan berhubung punca kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.- SINAR

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Agama

 

Halimislam Online 2011-2012. All Rights Reserved | Back To Top |