11 February 2013

Pemasangan AES, JPJ Seolah Merayu perlukan kerjasama kerajaan negeri

KOTA BHARU - Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan berharap pemasangan 831 kamera Sistem Penguatkuasaan  Automatik (AES) di seluruh negara tercapai setelah isu teknikal dan kefahaman dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, pihaknya sedang mengemas kini aspek teknikal dengan mengadakan perbincangan di pihak berkaitan termasuk menyelesaikan isu berbangkit seperti mengenai lokasi kawasan black spot dikatakan bukan kawasan kerap berlaku kemalangan.

Menyifatkan kritikan  keras terhadap sistem ini adalah biasa memandangkan ia baru diperkenalkan, Solah secara sinis berkata, mereka yang 'bising' itu adalah daripada kalangan terbabit dengan kesalahan dilakukan.

"Pada peringkat senario sekarang, isu ini akan dipolitikkan, apa lagi isu penguatkuasaan, pada saya ia ditimbulkan kepada mereka yang menerima kesan langsung, kepada mereka yang tidak salah, tak ada apa pun, adakah anda bimbang sekiranya orang  mengedar dadah digantung, kalau anda tidak mengedar, anda tidak akan berasa apa pun," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Solah berkata, setelah semua aspek yang dikaji itu dimuktamadkan, pihaknya akan membuat penerangan kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri yang menangguhkan pelaksanaannya sebelum ini.

"Selain penerangan, kita juga memerlukan kerjasama  kerajaan negeri untuk menjaga keselamatan, kerja ini bukan satu pihak sahaja dan ia menuntut kerjasama daripada kerajaan tempatan," katanya.

Pemasangan AES dimulakan sejak Jun tahun lalu dan dijangka akan dilaksanakan sepenuhnya akhir 2012, namun ia mendapat bantahan hebat daripada pelbagai golongan termasuk empat negeri Pakatan Rakyat iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang mahu menangguhkan pelaksanaannya.

Dalam pada itu, Solah menjelaskan pemasangan AES adalah jelas mahu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan bukannya mengenakan saman semata-mata.

"Buktinya, sebelum ada kamera AES, kita meletakkan papan tanda untuk mengajar pemanduan lebih selamat, jangan laju, kalau di tempat lampu isyarat tidak boleh langgar," katanya yang menjelaskan sistem masa depan memerlukan teknologi memandangkan jalan raya dan kereta semakin bertambah.

Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment