11 February 2013

Apa nak jadi dengan anak-anak Melayu kita?

Anda tentu sudah membaca pelbagai cerita jaya anak-anak Melayu kita dalam pelbagai bidang kehidupan – dari pendidikan kepada kerjaya, perniagaan dan bermacam-macam lagi.

Sebagai anak Melayu, kita tentu berbangga dengan kejayaan anak bangsa kita itu. Kadangkala kita sampai mendabik dada dan berkata inilah tanda Melayu Baru.

Tetapi, apa pula sikap kita apabila berdepan dengan kisah-kisah yang menunjukkan kebobrokan masyarakat kita? Apakah kita cenderung untuk menutup sebelah mata atau sembunyikan saja segala kepincangan itu, seolah-olah tiada yang buruk berlaku dalam masyarakat kita?

Perlu Bersikap Bijaksana

Bagi saya, kita perlu bersikap bijaksama. Dalam kita meraikan kejayaan masyarakat kita dalam kehidupan moden sekarang ini, kita juga tidak harus membutakan mata dalam menghadapi kepincangan-kepincangan dalam masyarakat kita.

Saban masa, kita berdepan dengan kisah-kisah buruk yang melibatkan masyarakat kita sendiri.

Dari kisah pasangan berbelanja ribuan dolar untuk majlis perkahwinan tetapi bercerai-berai dalam masa setahun dua sahaja, membawa kepada kisah anak-anak yang jadi mangsa perceraian, keluarga yang kehilangan tempat tinggal gara-gara kesilapan sendiri dalam menguruskan kewangan mereka lalu mencari tempat berteduh di tepi-tepi pantai, pergelutan berterus-terusan dengan masalah penagihan dadah dan banyak lagi.

Sejak kebelakangan ini pula, kita membaca di dada-dada akhbar tentang pelibatan anak-anak Melayu kita dalam pelbagai kes jenayah, ada yang begitu kejam sampai melewati batas kemanusiaan.

Mayat Reput

Beberapa hari lalu saja misalnya, kita dikejutkan dengan berita kematian seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Muhammad Nor Rashidy Rahmat, yang mayatnya ditemui dalam keadaan reput dalam sebuah troli di tebing Sungai Kallang selepas hilang seminggu lamanya.

Yang menyedihkan, seorang lelaki yang disyaki membunuh kanak-kanak malang itu seorang lelaki Melayu juga yang merupakan kenalan keluarga kanak-kanak berkenaan.

Lelaki itu telah pun dihadapkan ke mahkamah dan sama-sama kita menantikan perbicaraannya. Jika dibaca lebih mendalam lagi, kita dapati keluarga kanak-kanak itu juga boleh dikatakan berantakan dan dicengkam masalah penagihan dadah.

Minggu ini juga, kita dikejutkan degan perbicaraan kes mahkamah yang melibatkan sekumpulan anak muda Melayu bersama beberapa rakan bukan Melayu mereka yang dituduh merogol beramai-ramai seorang wanita berusia 17 tahun dalam rumah salah seorang remaja lelaki tersebut.

Wanita malang itu dikatakan menjadi mangsa selepas mabuk akibat terlalu banyak minum minuman keras yang dibeli lelaki-lelaki tertuduh tersebut.

Kesnya sedang berjalan di mahkamah dan tidaklah wajah membincangkannya secara lanjut sehingga hakim membuat keputusannya.

Cuma apa yang ingin saya timbulkan ialah keberanian anak-anak muda melakukan jenayah seburuk itu di rumah ketika ibu bapa mereka tiada dan sikap mereka yang minum arak bagaikan minum Coca Cola sahaja gayanya.

Sebelum ini, kita sudah pun didedahkan dengan kes penderaan kanak-kanak sampai mati melibatkan bapa atau ibu bapa Melayu.

Apa perasaan anda apabila membaca laporan-laporan sedemikian? Tidakkah hati anda terguris.

Tidakkah anda tertanya-tanya di dalam hati: Apa nak jadi dengan bangsa Melayu yang beragama Islam ini?

Bagaimanakah sebuah masyarakat yang dahulunya terkenal dengan prinsip biar mati anak, jangan mati adat dan menjunjung nilai-nilai keperibadian Melayu yang tinggi kini bergelumang dengan masalah-masalah jenayah kejam dan sikap negatif yang menghambat kemajuan?

Orang Melayu dahulu terkenal dengan budi bahasa yang dijunjung tinggi, adat resam dan tatasusila. Tetapi, mengapa kini kita dikenali pula sebagai masyarakat yang bergelumang dengan pelbagai masalah sosial dan gagal mengendalikan rumah tangga hingga akhirnya terpaksa berkhemah di tepi pantai selepas hilang tempat berteduh?

Melihat kepada perkembangan akhir-akhir ini, semakin ramai anggota masyarakat kita, terutama golongan anak muda, yang bagaikan tidak terkawal lagi.

Rambut hitam jadi perang, tatu ditubuh jadi lambang kemegahan dan bercumbuan di khalayak ramai sudah menjadi perkara biasa.

Kesemua itu sampai menimbulkan sindiran sinis sesetengah orang: Apakah ini yang menjadi ciri kebanggaan Melayu Baru?

Salah Siapa?

Mengapa wujudnya semua ini? Salah Siapa?

Salah pemerintah, pemimpin Melayu ataupun salah diri kita sendiri kerana lalai dengan kehidupan harian?

Sepanjang kerjaya saya selama lebih 27 tahun, saya telah menyaksikan pelbagai usaha pemimpin politik dan masyarakat kita untuk mengatasi kepincangan masyarakat Melayu dan mempersiap mereka menghadapi kehidupan yang penuh persaingan demi penakatan mereka dalam Singapura ini.

Daripada badan-badan seperti Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu Singapura, membawa kepada Yayasan Mendaki, Angkatan Karyawan Islam (AMP), Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan kini Forum Kepimpinan Masyarakat (CLF) yang menggembleng tenaga pemimpin politik dan masyarakat, saya telah melihat dan merasai pelbagai kemajuan dalam masyarakat hasil usaha tersebut.

Cuma masalahnya, di sebalik usaha itu, masih terdapat jurang di antara golongan berjaya dengan golongan tidak berjaya dalam masyarakat kita.

Sedang golongan yang berpendidikan dan berpendapatan tinggi terus mendaki tangga kejayaan, golongan bawahan pula terus dilanda kesusahan.

Golongan Terpinggir

Jika dibiarkan berterusan, mereka akan menjadi golongan terpinggir dalam masyarakat. Inikah yang kita mahukan? Saya pasti, tiada seorang pemimpin pun yang mahukan keadaan sedemikian.

Namun hakikatnya, terdapat batas-batas tertentu dalam apa yang b0leh sahaja mengusahakan pelbagai program dan mendapatkan kerjasama pemerintah untuk membawa kemajuan kepada masyarakat.

Namun, keputusan akhirnya masih terletak kepada individu sendiri. Jika kita, sebagai ketua keluarga gagal menyemai nilai-nilai positif yang cintakan ilmu dan usaha dalam jiwa anak-anak, maka susahlah untuk kita maju.

Kalau kita sebagai ibu bapa mengambil sikap mudah berserah dan lebih suka membiarkan keluarga kita tinggal melarat di tepi pantai, bagaimana hendak kita majukan anak-anak kita sendiri?

Jika kita lebih cenderung mengamalkan sikap meminta-minta tanpa dibekalkan usaha gigih, bagaimana dapat kita keluar dari lingkaran musibah yang menghantui keluarga kita?

Jika kita sebagai ibu bapa tidak ambil kisah dan ambil peduli perkembangan anak-anak kita, wajarkah kita mengharapkan orang lain untuk melakukannya?

Ayuh, mari kita berlapang dada dan buka minda untuk memikirkannya.

0 comments:

Post a Comment