8 March 2012

Tembak teman baru bekas kekasih

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Selepas hubungan yang terjalin selama 12 tahun gagal, seorang lelaki bertindak melepaskan tembakan ke arah teman baru bekas kekasihnya dalam satu kejadian di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan tiga hari lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supt Abd Razak Elias berkata, dalam kejadian pukul 11.45 malam itu, mangsa berusia 28 tahun yang bekerja sebagai penjual telefon bimbit sedang menunggu teman wanitanya berusia 24 tahun di hadapan rumah.

"Ketika mangsa sedang menunggu, salah seorang daripada tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic keluar dari kenderaan terbabit lalu melepaskan tembakan menggunakan pistol angin ke arah mangsa.

"Tembakan itu telah mengakibatkan cermin hadapan sebelah kiri kereta mangsa pecah, bagaimanapun tembakan tidak mengenai mangsa,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian mengambil kayu pemukul besbol sebelum menuju ke arah mangsa untuk memukulnya, namun tidak sempat kerana ditahan anggota polis yang sedang meronda.

Suspek yang berusia 25 tahun dan dua rakannya yang masing-masing berusia 21 dan 25 tahun ditahan di lokasi kejadian, katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment