7 March 2012

Ratu England pun ikut sunah Nabi

Pada Februari lalu, Kapten (U) Harry berjaya menamatkan latihan sebagai juruterbang helikopter tempur Apache dengan cemerlang. Beliau yang mengharungi latihan tersebut selama 18 bulan di Amerika Syarikat bakal ditugaskan di Afghanistan tidak lama lagi. Hanya mereka yang betul-betul layak sahaja akan dibenarkan memandu pesawat tempur yang berharga £37 juta.

Kapten (U) Harry atau Putera Harry merupakan cucu kepada Ratu Elizabeth, Ratu England - anak kepada Putera Charles dan mendiang Puteri Diana. Mereka semua beragama Kristian, tetapi kenapa saya mengatakan mereka mengamalkan salah satu sunah Nabi Muhammad SAW?

Nabi Muhammad SAW menyarankan umatnya agar mendidik anak-anak mereka menunggang kuda, memanah dan berenang. Saranan Nabi supaya berkuda, memanah dan berenang tidak semestinya difahami secara langsung sahaja, tetapi pada zaman sekarang, memanah mungkin boleh kita samakan dengan menembak, dan berkuda mungkin sama dengan belajar memandu,  dan sebagainya untuk memperjuangkan Islam.

Mungkin bagi Ratu England menghantar ahli keluarga diraja mengikuti kursus ketenteraan atau bertugas sebagai anggota tentera adalah suatu tradisi yang elok, tidak lebih daripada itu. Namun dalam Islam, semua itu bukan sekadar tradisi tetapi mana-mana umatnya yang mengamalkan saranan tersebut dan berniat mengikuti sunah nabi, maka mereka akan beroleh pahala.

Walaupun Ratu England ini tidak tahu tentang sunah dan sebagainya, tetapi baginda tahu, anak-anak dan cucunya bakal mewarisi tampuk kepimpinannya suatu hari nanti. Sebagai pemimpin mereka perlu dilengkap dengan pelbagai ilmu termasuk ilmu ketenteraan.

Tradisi ini juga diamalkan oleh raja-raja Melayu di Malaysia. Saya percaya tradisi ini bukan sekadar ikut-ikutan daripada British tetapi kefahaman raja-raja Melayu tentang saranan Nabi Muhammad SAW apabila Islam mula tersebar di Alam Melayu.

Dalam hal ini sunah Nabi mencakupi pelbagai bidang dalam kehidupan sehari-harian, daripada bangun tidur sehinggalah bangun semula keesokan harinya. Daripada semudah-mudah amalam seperti sentiasa tersenyum sehinggalah kepada membentuk sebuah negara. Sekiranya diamalkan dengan niat menuruti sunah Rasulallah SAW, maka akan beroleh pahala.

Membentuk sebuah negara Islam juga merupakan sunah Rasulallah SAW yang wajib bagi setiap umatnya. Cuma kaedahnya berbeza di setiap tempat. Di Malaysia, untuk mencapai tahap tersebut umatnya mestilah melalui pilihan raya dan memenuhi syarat-syarat tertentu.

Oleh itu, mana-mana umat Islam yang menyumbang tenaga, harta dan sebagainya untuk mencapai sunah tersebut akan beroleh pahala. Dalam konteks Malaysia, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memainkan peranan tersebut dan didukung oleh sebahagian umat Islam sama ada yang menjadi ahli atau yang menyokong daripada luar.

Ahli-ahli PAS sedar dan maklum bahawa setiap peluh yang gugur ke bumi kerana menegak sunah ini akan diberi pahala. Oleh sebab itulah setiap ahlinya menyumbangkan apa-apa sahaja mengikut kadar kemampuan masing-masing – sama ada, melalui lisan, tenaga, harta benda, wang ringgit dan apa-apa kepakaran.

Jika ahlinya itu mahir dalam bidang teknologi maklumat, maka dia akan menyumbang daripada sudut tersebut, jika dia seorang ahli perniagaan, maka sumbangannya mungkin dalam bentuk wang ringgit. Begitulah seterusnya. Semuanya akan dapat pahala. Ada yang menganggap gerak kerja dalam pilihan raya ini tidak ada kena mengena dengan pahala dan dosa. Amat malanglah golongan ini kerana kejahilan mereka.

Sedangkan Allah SWT telah menerangkan bahawa setiap sesuatu yang kita buat walaupun sebesar zarah akan dikira pahala jika berbuat seperti yang Allah SWT suruh dan beroleh dosa jika bertentangan dengan suruhan-Nya. Setiap perbuatan kita sebagai umat Islam akan dikira pahala dan dosa sama ada ketika berdiri, duduk, berbaring mahupun ketika tidur.

Adakah usaha menegakkan sebuah negara yang melaksana kebajikan dan keadilan Islam itu lebih kecil daripada zarah? Hanya mereka buta mata hati sahaja akan mencari dalih demi dalih untuk menidakkannya.

Sepatutnya kita berasa malu kepada Ratu Elizabeth yang mengamalkan salah satu sunah Rasulullah SAW walaupun baginda bukan beragama Islam dan tidak tahupun bahawa perbuatannya itu suatu sunah.

0 comments:

Post a Comment