3 March 2012

Mati mengejut ditimpa pagar

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun meninggal dunia selepas ditimpa pintu pagar besi ketika bermain di rumah datuknya di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut, Besut, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 pagi, Muhammad Aqif Najwan Majuki dari Kampung Pengkalan Nyireh, Besut yang cedera parah di kepala dan pipi kirinya, disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Besut.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, mangsa dipercayai bermain bersendirian di kawasan itu dan tidak berhenti-henti menarik pintu pagar besi yang buruk itu sebelum kejadian berlaku.

“Ketika itu, datuk mangsa yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian bergegas mendapatkan cucunya yang berlumuran darah sebaik melihat pintu pagar terbalik dan menimpa mangsa.

“Datuk mangsa yang juga pesara mengangkat dan menghantar cucunya ke Hospital Besut bagi mendapatkan rawatan. Namun, mangsa disahkan meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital selepas cedera parah di kepala dan pipi kiri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut Kamaruddin, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu selepas datuk mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut, jam 12.57 tengah hari hari sama.
Katanya, tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan pihaknya mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.

0 comments:

Post a Comment