8 March 2012

Bekas tentera rogol dan samun wanita dipenjara 13 tahun, 16 sebatan

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Seorang bekas anggota tentera berpangkat lans koperal hari ini dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan 16 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan merogol dan mencederakan seorang wanita tiga tahun lalu.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid memerintahkan Hamzi Amni Zamali, 26, menjalani hukuman itu bermula dari 25 0gos tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama, bapa kepada empat orang anak itu didakwa mencederakan seorang wanita berusia 22 tahun ketika menyamun mangsa di dalam semak di Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi di sini pada 10 malam 8 Mac 2009.

Bagi pertuduhan kedua, Hamzi didakwa merogol mangsa yang sama di tempat dan masa yang sama, manakala bagi pertuduhan ketiga bekas Tentera Diraja Malaysia itu didakwa merogol wanita sama di sebuah bilik di rumah yang terletak di Bandar Baru Sri Petaling di sini pada 8 pagi keesokan harinya.

Bagi kesalahan mencederakan wanita itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun, manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dengan lapan sebatan, dan bagi pertuduhan ketiga pula, dia dikenakan hukuman penjara 13 tahun dan lapan sebatan. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment