8 March 2012

6 kuasa dunia terima tawaran Iran

BRUSSELS 7 Mac - Enam kuasa dunia menerima tawaran Iran untuk menyambung semula rundingan mengenai program nuklearnya, berikutan kebuntuan selama setahun yang meningkatkan kebimbangan perang baru akan meletus di Asia Barat.

Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton membuat pengumuman itu semalam, sejurus selepas Rusia menggesa dialog secara langsung dengan Iran disambung semula dengan segera, memandangkan surat Teheran pada bulan lepas menunjukkan kesediaannya untuk mengadakan rundingan serius.

Ketika Israel makin lantang bersuara mengenai tindakan ketenteraan ke atas Iran, rundingan itu boleh meredakan krisis yang telah menyebabkan harga minyak melonjak dan mengancam untuk mengheret Amerika Syarikat (AS) ke dalam perang ketiga dalam tempoh sedekad.

Ketua perunding nuklear Iran, Saeed Jalili dalam suratnya kepada Ashton pada bulan lepas berkata, Teheran mahu membuka semula rundingan dan bersedia untuk membawa beberapa 'inisiatif baru' ke meja rundingan.

"Hari ini saya membalas surat Dr. Jalili bertarikh 14 Februari dan menyatakan kesediaan untuk menyambung semula rundingan dengan Iran mengenai isu nuklear," kata Ashton, yang bercakap bagi pihak enam kuasa dunia selepas rundingan selama berminggu-minggu dengan mereka.

Beliau yang mewakili enam kuasa dunia terdiri daripada AS, Rusia, China, Perancis, Britain dan Jerman dalam urusan dengan Iran, berkata, tarikh dan tempat rundingan akan ditetapkan. - REUTERS

0 comments:

Post a Comment