3 February 2012

Umat Islam masih perlukan Tuan Guru Abdul Hadi

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa apa yang sedang dialami oleh Ustaz Azhar Idrus mutakhir ini bagaikan mengulangi ‘Fenomena Hadi Hadi’ tiga dekad lalu. Kedua-dua fenomena itu mungkin tidak serahttp://dppwp.files.wordpress.com/2008/09/cover_hadiawangcun.gifus peratus serupa, sehingga ke tahap boleh disebut sebagai ‘saling tak tumpah’. Namun, dua gelombang kesedaran masyarakat dicetuskan dua ulama itu di zaman masing-masing secara umumnya berkongsi banyak persamaan.


Kedua-dua tok guru itu orang Terengganu. Butir ucapan mereka sarat dengan kalimah atau istilah baku negeri itu. Sebab itu bagi sesetengah khalayak, mendengar lenggok bahasa dan hamburan slanga Terengganu yang pekat oleh Ustaz Azhar bagaikan mengembalikan nostalgia kepada ucapan berani dan berapi seorang ulama muda negeri itu pada 80-an dulu.

Mereka agak berbeza dalam aspek gaya bahasa dan corak penyampaian. Sementara kuliah Ustaz Azhar lebih dihiasi gelak tawa dan usikan santai, butir ucapan Tuan Guru Abdul Hadi pula lebih serius. Namun, lontarannya yang bernas beserta huraiannya yang jelas dan meyakinkan sememangnya menepati suasana perkembangan masyarakat tatkala itu.

Apatah lagi atmosfera politik tiga dekad lalu memang memerlukan ucapan yang berapi-api dan membakar semangat pendengar, terutama bagi mendepani tribulasi parti pemerintah yang agak keras dan kekadang tidak waras.

Majlis-majlis ceramah PAS di zaman itu pula agak sinonim dengan insiden bom asap, sekatan jalan raya, kepungan polis dan sabotaj Umno. Justeru, sekalian pihak yang terlibat menjayakan majlis sebegitu bekerja dalam mood serius dan tegang, sehingga langsung tidak terfikir untuk memberi ruang kepada ucapan berbentuk jenaka atau gelak tawa.

Biar pun berbeza dari sudut pendekatan itu, kemasyhuran Ustaz Azhar dan Tuan Guru Abdul Hadi sama-sama bertitik-tolak daripada majlis ilmu mereka. Dalam ertikata lain, minat dan sanjungan masyarakat terhadap mereka berdua ialah kerana ceramah atau kuliah mereka yang sangat berkesan memaut hati pendengar di zaman masing-masing.

Sebab itu di mana saja mereka berucap akan dihadiri lautan manusia. Para pendengar pula bagaikan tidak puas setakat mengikuti penuh minat siri ceramah atau kuliahitu. Kebanyakan mereka selalunya akan mendapatkan pita rakaman ucapan tokoh ini, sama ada untuk didengar semula berkali-kali atau dengan niat untuk diperdengarkan kepada orang lain pula.

Seperkara turut dikongsi mereka berdua ialah tahap sokongan dan minat yang ditunjukkan golongan muda. Walau pun Tuan Guru Abdul Hadi tidak pernah dinobatkan oleh mana-mana pihak sebagai “Ikon Anak Muda”, sepertimana jolokan diperolehi Ustaz Azhar kini, popularitinya di kalangan khalayak itu sebenarnya agak terserlah.

Buktinya bukan sahaja dapat dilihat berdasarkan jumlah kehadiran anak-anak muda berbagai ragam semasa beliau berceramah (di zaman kemuncak “Fenomena Haji Hadi” dulu), malah kaset rakaman ucapan dan kuliahnya menjadi buruan khalayak itu, termasuk siswa-siswi di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara. Lenggok bahasa dan gaya penyampaiannya menjadi ikutan para pemidato, sama ada di pentas politik mahu pun di kampus-kampus.

Sekali lagi kedua-dua mereka menempuh jalan berbeza dalam menempa kemasyhuran. Jika 30 tahun lalu ucapan tersebar luas hanya secara audio menerusi rakaman kaset, kini ia boleh dinikmati secara audio-visual menerusi cakera padat.

Begitu juga, sementara populariti Ustaz Azhar kini banyak dibantu penyebaran maklumat di internet, sama ada menerusi tayangan youtube mahu pun bual bicara di laman-laman sosial, Tuan Guru Abdul Hadi pula banyak bergantung hanya kepada bual-bicara mulut ke mulut dalam masyarakat.

Namun, populariti diraihnya bukan sahaja membutirkan kebimbangan parti pemerintah, malah turut mencuit perasaan ingin tahu masyarakat antarabangsa. Beliau menjadi bahan ulasan dan sorotan beberapa media luar negara.

Para wartawan daripada Jerman, Jepun, Amerika Syarikat mahu pun negara-negara umat Islam antara yang pernah menerjah rumahnya untuk mendapatkan komen Tuan Guru berhubung perkembangan politik Malaysia.

Majalah Asiaweek pernah beberapa kali menjadikan beliau sebagai penghias muka depannya, begitu juga majalah Far Eastern Economic Review. Ulasan dan sorotan di dalamnya seakan menobatkan Tuan Guru Abdul Hadi sebagai pemimpin Islam paling berpengaruh, bahkan dibayangkan sebagai bakal peneraju pemerintahan Malaysia.

Apatah lagi, berbeza dengan Ustaz Azhar yang tidak terlibat dalam hierarki parti, Tuan Guru Abdul Hadi sejak sekian lama memang disarati dengan berbagai amanah kepimpinan. Komitmen dan konsistensinya dalam menyempurnakan setiap aktiviti parti melibatkan dirinya adalah suatu yang amat sukar digalang-ganti.

Sebab itu tidak menghairankan apabila kesediaannya untuk tidak bertanding lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti tidak disenangi pelbagai peringkat dalam parti. Mereka bagaikan sepakat bahawa perjuangan Islam ini masih memerlukan khidmat bakti dan suntikan semangat daripada Tuan Guru!

0 comments:

Post a Comment