kereta
BUNUT SUSU – Tindakan tiga lelaki melarikan diri, setelah kereta yang yang dipandu terbabas ke dalam bendang, menimbulkan rasa curiga penduduk di Kampung Bechah Palas, Isnin lalu.

Lebih mencurigakan, ketiga-tiga lelaki terbabit lari dan sanggup meninggalkan rakan mereka, yang juga seorang wanita seorang diri tanpa memikirkan keselamatannya setelah terlibat dalam kemalangan.

Penduduk, Mat Pi, 33, berkata, kejadian yang berlaku pada jam 7.30 ini, bermula apabila kereta Kelisa yang dipandu dari arah Kampung Tempoyak dipercayai dipandu laju dan tidak dapat dikawal, sehingga terbabas ke dalam bendang.

Menurutnya, kesemua penumpang terselamat tetapi penduduk hanya menemui seorang wanita berdekatan kereta terbabit.

“Tiga lelaki lain tidak dijumpai dan dipercayai melarikan diri ke arah kawasan belukar berdekatan kampung ini,” katanya.

“Apa yang menjadi tanda tanya adalah, mengapa mereka melarikan diri, sedangkan kita tidak mengejarnya atau menyalahkannya,” katanya.

Menurutnya, jika mereka tidak melakukan sebarang kesalahan, mereka tidak perlu takut atau melarikan diri.

Mat Pi berkata, tindakan pantas penduduk bersama pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) berjaya menahan dua lelaki yang melarikan diri.

“Penumpang pertama berjaya ditahan pada jam 11 malam, tidak jauh dari kawasan mereka terbabas, manakala seorang lagi ditahan pada jam empat pagi.

“Mungkin mereka bukan dari penduduk setempat, kerana mereka kelihatan tidak mengetahui selok belok kawasan di sini,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi rakan mereka tidak dijumpai namun semua penduduk bersiap sedia bagi mengawal keamanan kampung.