Lelaki terpelanting selepas dirempuh tren
SEREMBAN – Tindakan seorang lelaki berjalan di landa­-san keretapi mengundang padah apabila dia dirempuh sebuah kereta api komuter, berhampiran Stesen Komuter Senawang, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, mangsa, Redzuan Yusop, 37, dikatakan menceroboh masuk dan berjalan di kawasan landasan berkenaan, bagaimanapun tidak menyedari sebuah kereta api komuter sedang bergerak laju dan meng­ham­pirinya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komi­sioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, ketika kejadian kereta api terbabit datang dari arah belakang mangsa.

“Pemandu tren dikatakan membunyikan hon beberapa kali sebaik saja menyedari kehadiran mangsa di landasan itu, Tetapi mangsa dikatakan tidak mengendahkan hon berkenaan.

“Akibatnya, lelaki berkenaan terus dirempuh tren yang sedang bergerak laju menyebabkan mangsa terpelanting beberapa meter di tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Saiful Azly, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

“Pasukan perubatan tiba sejurus selepas itu dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

"Pemandu tren terbabit juga sudah tampil membuat laporan sejurus selepas kejadian,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini polis masih belum mengetahui punca lelaki itu menceroboh serta berjalan di landasan berkenaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini untuk bedah siasat,” katanya.