2 February 2012

Terkejut tengok adik jatuh sungai, nekad terjun juga untuk menyelamatkannya, tapi gagal menyebabkan kedua-duanya lemas

PASIR PUTEH: Tindakan berani seorang budak lelaki untuk menyelamatkan adiknya yang tergelincir dalam sungai berakhir dengan tragedi apabila kedua-dua beradik itu lemas di Sungai Alor Pasir, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Mohd Amirul Zulhaiqal Abd Rahim, 7, dari Taman Kobena di sini, tergelincir ke dalam sungai ketika berdiri di batu untuk membuang air kecil. 

Terkejut melihat adiknya terjatuh, Mohd Afeq Zulfikrie, 12, nekad terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkannya, namun gagal menyebabkan kedua-duanya lemas. 

Abang kedua-dua mangsa, Mohd Alif Zulhakimi, 14, turun terjun ke sungai apabila menyedari adiknya hilang, namun gagal menyelamatkan mereka kerana air sungai itu terlalu dalam.

Malah, Mohd Alif Zulhakimi hampir lemas tetapi sempat ditarik rakannya yang dikenali sebagai Naim.

“Saya terjun selepas melihat selipar biru adik di sungai dan tepi sungai.

“Saya sedih tidak dapat menyelamatkan mereka,” katanya yang sebak dengan tragedi itu.
Ibu bapa mangsa, Abd Rahim Mohamad, 38, dan Normah Mohd Rahim, 35, tidak dapat ditemu ramah kerana terlalu sedih.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat, Kaharuddin Yahya, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7 petang dan segera menghantar satu jentera dengan enam anggota.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, mayat Mohd Afeq Zulfikrie sudah ditemui datuk mangsa, Mohd Rahim Mohd Adam, 58, yang membantu gerakan mencari mencari kanak-kanak itu.

“Mayat Mohd Amirul Zulhaiqal ditemui pasukan bomba pada jam 7.16 petang,” katanya.

0 comments:

Post a Comment