Khader Adnan
TEL AVIV - Tahap kesihatan seorang pejuang Palestin yang berada dalam tahanan Israel dilaporkan semakin merosot selepas dia nekad untuk melakukan mogok lapar selama 46 hari, menurut aktivis antarabangsa, kelmarin.

Ketua gerakan Jihad Islam di Tebing Barat, Khader Adnan, 34, telah ditahan oleh tentera rejim Zionis pada 17 Disember lalu dan dipenjarakan tanpa melalui sebarang proses perbicaraan yang adil.

Adnan yang berang dengan tindakan melulu Israel kerana memenjarakannya tanpa sebab bertekad melakukan protes dengan memutuskan untuk mogok lapar sehari selepas dia ditahan di bawah ‘tahanan pentadbiran’ rejim Zionis itu.

Sebuah kumpulan aktivis hak asasi manusia mula menyuarakan kebimbangan mereka dengan menyatakan kesihatan dan sistem tubuh Adnan akan semakin terjejas jika dia masih berdegil untuk meneruskan mogok lapar tersebut.

Bagamainapun, dalam satu kenyataan, jurucakap perkhidmatan penjara Israel, Sivan Weizman berkata, doktor di pusat tahanan itu kini sedang memantau tahap kesihatan Adnan dan dia dilaporkan stabil.