5 February 2012

Sultan Kelantan masih belum temu calon isteri

SULTAN MUHAMMAD V  bertanya khabar ketika melawat  Che Asmah di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, semalam.
SULTAN MUHAMMAD V bertanya khabar ketika melawat Che Asmah di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, bertitah baginda masih belum mempunyai calon isteri dan sentiasa berdoa niat baginda itu dimakbulkan Allah.

Sultan Muhammad V bertitah selepas ditanya wartawan yang membuat liputan baginda melawat Che Hasmah Che Awang, 54, yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, semalam.
Apabila diajukan soalan itu, baginda memberi jawapan dengan spontan, ‘tak ada calon lagi’. 
Baginda yang membahasakan diri sebagai ‘saya’ atau ‘kita’, berharap berkat doa pemimpin dan pembesar negeri serta sahabat, perkahwinan baginda akan menjadi kenyataan.

Mengenai lawatan berkenaan, Sultan Kelantan bertitah, baginda membaca dalam akhbar tempatan mengenai kejadian yang menimpa Che Hasmah dan berhasrat melawat mangsa tembakan terbabit berikutan simpati dengan kejadian yang menimpanya.

Sementara itu, Che Hasmah menyatakan rasa terharu atas keberangkatan Sultan Kelantan melawatnya dan tidak menyangka baginda begitu prihatin terhadap keadaan nasib rakyatnya.

“Junjung kasih Tuanku. Saya gembira dan terharu kerana baginda sanggup datang melawat dan bertanya khabar saya yang masih menerima rawatan di hospital ini.

“Sebelum ini saya tidak pernah melihat Tuanku dengan dekat, apa lagi dapat berbual dengan baginda. Sikap ambil berat menunjukkan baginda adalah sultan berjiwa rakyat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi Isnin lalu, Che Hasmah yang bekerja sebagai penjual kuih, parah dan terpaksa dirawat di HRPZ II, akibat ditembak seorang daripada empat perompak yang menceroboh masuk rumahnya di Kampung Slow Machang, Pasir Mas.

0 comments:

Post a Comment