23 February 2012

Shahidan nafi 'tutup mata'

pix_gal0

PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim, menafikan beliau bersifat 'tutup mata' dalam mengendalikan isu berkaitan Karim Ibrahim kerana mulutnya dikunci timbalannya dalam persatuan itu.

Sambil menyifatkan ia sebagai dakwaan yang tidak berasas, Shahidan berkata beliau percaya tanggapan itu sebenarnya hanya sekadar persepsi semata-mata dibuat pihak tertentu. 
 
“Mulut saya tidak pernah ‘ditutup’ mana-mana pihak terutama Karim. Setiap apa yang saya lakukan (dalam KOM) adalah berdasarkan kepada peraturan sudah ditetapkan. 
 
Pada saya Karim sudah jalankan kerjanya dengan baik selama ini, begitu juga saya. Mungkin ada pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengannya selepas melihat banyak kejayaan ditempa KOM. - Datuk Seri Shahidan Kassim 
 
“Pada saya Karim sudah jalankan kerjanya dengan baik selama ini, begitu juga saya. Mungkin ada pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengannya selepas melihat banyak kejayaan ditempa KOM,” katanya.

Difahamkan, tanggapan mulut Shahidan dikunci Karim timbul selepas beliau dilihat seolah-olah ‘membela’ orang nombor dua itu, walaupun Karim kini berdepan pertuduhan serius termasuk didakwa terbabit dengan seorang atlit yang didapati positif ujian dadah di Sukan SEA, Indonesia November lalu.

Tambah kukuh, Karim dilihat masih ‘kebal’ walaupun berdepan pertuduhan itu apabila hasil mesyuarat tergempar berhubung isu berkenaan memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Doping dan Jawatankuasa Siasatan bagi menyiasat tuduhan membabitkannya.

Malah, kedudukan Karim dalam KOM juga turut tidak disenangi apabila sekumpulan jurulatih dan atlit dilapor menyerahkan petisyen bantahan bertarikh 13 Februari lalu, kepada Shahidan yang antara lain turut mengusulkan supaya beliau disingkirkan daripada jawatan Timbalan Presiden KOM.

Shahidan ketika ditanya mengenai kedudukan Karim dalam KOM berkata, semuanya akan ditentukan dalam mesyuarat agung khas yang dijangka diadakan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

0 comments:

Post a Comment