7 February 2012

Seorang pekerja syarikat utiliti yang bermimpi dikejar pokok kelapa sawit, ditemui mati

PONTIAN: Seorang pekerja syarikat utiliti yang bermimpi dikejar pokok kelapa sawit, ditemui mati dihempap pokok kelapa sawit yang ditebang di kebunnya di Kampung Tengah Ayer Baloi dekat sini, pagi semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Mohd Noor Ali, 31, yang bertugas di Syarikat Air Johor Holdings (SAJH) di Johor Bahru, dikatakan gagal mengelak batang pokok sebesar sepemeluk tumbang lalu menghempapnya.
Mohd Noor pulang ke kampungnya sempena cuti Maulidur Rasul dan Thaipusam untuk membersihkan kebun kelapa sawit seluas kira-kira 0.4 hektar miliknya.Rakannya, Nordin Abd Rahman, 40, berkata, beliau tidak menyangka mimpi arwah dikejar pokok kelapa sawit akhirnya menjadi petanda akan menemui ajal dihempap pokok berkenaan. 

“Sejak dua hari lalu Mohd Noor menceritakan mimpinya dikejar pokok kelapa sawit sebanyak dua kali ketika menebang pokok itu di kebunnya. 

“Saya tidak sangka ia sebenarnya petanda apabila diberitahu arwah maut dihempap pokok kelapa sawit ketika berada di kebunnya sendiri. 

“Sebelum ini, saya bersembang dengan arwah di kedai kopi hingga jam 3 pagi dan keadaannya seperti biasa serta ceria. 
“Ketika itu, arwah bercerita mimpinya dikejar pokok kelapa sawit namun kami tidak menyangka apa-apa,” katanya. 

Arwah meninggalkan isteri, Azreeniza Abdullah, 30, yang juga kakitangan syarikat yang sama dan seorang anak perempuan, Ain Afrina, 3. 

Azreeniza ketika ditemui di Hospital Pontian berkata, kejadian berlaku ketika beliau berada di kampungnya di Batu Pahat kerana arwah pulang bersendirian untuk membersihkan kebun. 

“Cuti kali ini arwah tidak mengikut saya ke Batu Pahat, sebaliknya pulang ke kampungnya di Kampung Tengah Ayer Baloi untuk membersihkan kebunnya. 

“Saya tidak menyangka dia meninggal dunia dihempap pokok ketika membersihkan kebunnya,” katanya ketika ditemui di Hospital Pontian (HP). 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Za-haliman Jamin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kematian mangsa tidak berunsurkan perbuatan jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

Mayat mangsa dihantar ke HP untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarganya.

0 comments:

Post a Comment