3 February 2012

Rumah Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor dilontar bom molotov


Dzulkefly menunjukkan kereta BMW dan sebahagian rumahnya yang terbakar akibat dibaling bom molotov di Johor Bahru semalam.




JOHOR BAHRU - Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Dzulkefly Ahmad mendakwa dia kerugian RM300,000 apabila kereta mewah jenis BMW, Toyota Camry dan sebahagian rumah miliknya rosak terkena bom molotov yang dibaling penjenayah semalam.

Kejadian mencemaskan pukul 3.40 pagi di Taman Universiti di Skudai dekat sini itu berlaku ketika Dzulkefly, isterinya, empat anak dan kakak ipar ahli politik tersebut sedang tidur di rumah teres dua tingkat terbabit.
Menurut Dzulkefly, dia bergegas turun ke tingkat bawah selepas terdengar bunyi letupan dan melihat pintu rumah terbuka serta api marak di tempat letak kereta.

Katanya, mereka sekeluarga kemudian dikejutkan dengan satu lagi letupan ketika sedang menghubungi bomba.

"Ketika itu api semakin marak dan merebak ke ruang tamu. Saya kemudian mengarahkan semua ahli keluarga menyelamatkan diri melalui pintu belakang," cerita perunding hartanah tersebut.

Tambahnya, kejadian itu mengakibatkan kereta BMW miliknya rosak teruk manakala kereta Toyota Camry pula rosak di bahagian depan. Turut terjejas ialah perabot di ruang tamu rumah selain kompresor penghawa dingin dan kipas.

0 comments:

Post a Comment