18 February 2012

Polis sudah kenal pasti dua suspek simbah asid

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengenal pasti dua suspek berhubung kejadian simbah asid yang melibatkan seorang penjaga bot yang nyaris maut di Kampung Padang Purut Beta Hulu, Nilam Puri pada 13 Februari lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kedua-dua suspek yang dikenali sebagai Mohd Al Badawi Ab Kadir, 25, dan Mohd Nurfino Omar, 29, juga disyaki turut terlibat dalam kes dua kenderaan yang dipercayai dibakar bersama seorang lagi suspek, Mohd Amin Hashim, 23, di hadapan sebuah kedai di Kampung Pachakan Semerak, Pasir Puteh pada 10 Februari.
 
“Seorang suspek ini juga pernah mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan di atas kesalahan mencederakan seseorang menggunakan senjata dan 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh sehingga menyebabkan mangsa cedera).
 
“Mereka merupakan antara orang yang dikehendaki polis berhubung dua kejadian itu dan terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar negeri ini.
 
“Saya minta orang ramai agar memberi kerjasama bagi membantu polis menyelesaikan kes ini dan boleh membuat laporan di mana-mana balai polis terdekat serta menyalurkan maklumat di bilik gerakan Kontinjen Kelantan di talian 09-7450999,”katanya.
 
Dalam kejadian terbabit, mangsa, Mohd Khaidzir Hanafi, 31, mengalami kecederaan parah di bahagian muka serta luka di beberapa bahagian badan dan kaki.
 
Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan (dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata tajam atau lain-lain benda yang berbahaya).
 
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

0 comments:

Post a Comment