1 February 2012

Polis siasat penemuan kepala babi di masjid


KUALA LUMPUR 31 Jan. - Polis sedang menyiasat kes penemuan kepala babi yang ditinggalkan di hadapan tangga sebuah masjid di Kilometer 28.8, Rawang dekat sini awal pagi ini.

Siasatan itu akan diberi tumpuan kerana ia melibatkan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak tertentu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, polis akan menjalankan siasatan secara terperinci bagi mengesan pelaku jenayah tersebut.

Beliau yang ditemui pada majlis perasmian Kompleks Kesatria Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi turut mengesahkan penemuan kepala babi itu.

"Orang ramai diminta supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian ini dan kita akan siasat secara terperinci kes ini.

"Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu membinasakan, merosakkan atau mencemarkan mana-mana tempat sembahyang," kata beliau.

Awal pagi ini, seorang siak di Masjid Nurul Iman di Rawang dekat sini terkejut apabila menemui kepala babi yang ditinggalkan di hadapan tangga masjid ketika tiba untuk menunaikan solat Subuh.

Nadzlan Ambak yang berusia lingkungan 50-an memberitahu, objek yang tidak dibungkus itu ditemuinya kira-kira pukul 5.15 pagi ini.

Menurutnya, ketika kejadian, seramai 40 jemaah sudah berada di masjid itu untuk menunaikan solat, namun dia terlebih dahulu membuka pintu masjid berusia 30 tahun itu.

Semasa menaiki tangga untuk menuju ke pintu, katanya, dia terkejut apabila menemui kepala babi berwarna merah di atas salah satu daripada alas kaki.

"Penemuan itu mengejutkan semua jemaah. Kepala babi itu diletakkan menghadap ke arah tangga.

"Setelah menunaikan solat Subuh, barulah kami membuat laporan polis dan pihak berkuasa tiba pada pukul 6.45 pagi untuk memulakan siasatan," katanya.

Tambahnya, kepala babi yang dipanggang itu dipercayai diletakkan oleh pihak yang tidak berpuas hati terhadap pentadbiran masjid.

"Sebelum ini terdapat pihak tidak berpuas hati dengan pentadbiran masjid berhubung beberapa isu termasuk projek ubah suai yang dilakukan.

"Beberapa surat layang memburukkan pentadbiran masjid telah dihantar pihak berkenaan dan kes tersebut kini disiasat Majlis Agama Islam Selangor," ujarnya.

Dalam pada itu, sumber polis memberitahu, siasatan terperinci sedang dilakukan ketika ini, namun tiada suspek dikenal pasti atau ditahan.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong menyifatkan tindakan itu sebagai satu perbuatan keji.

Menurut beliau, pihak melakukan perbuatan itu tidak layak 'bergelar' warganegara Malaysia kerana tidak menghormati kesucian masjid sebagai rumah ibadat bagi umat Islam.

''Saya kesal dengan tindakan mereka ini. Kita tidak boleh berkompromi dengan gejala sebegini. Pihak yang melakukannya perlu diambil tindakan tegas dan dihukum. Mereka ini tidak layak duduk di Malaysia. Bagaimanapun, biar polis jalankan siasatan.

''Saya nasihatkan semua pihak bertenang kerana ini mungkin perbuatan sabotaj,'' katanya.

0 comments:

Post a Comment