Razali Ibrahim
MUAR – Pas disifatkan bersubahat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu mempertahankan keselamatan negara Israel, kata Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim.

Razali mendakwa, walaupun parti itu tidak menyatakan pendirian yang sama, namun ia tetap berada dalam satu payung iaitu pakatan pembangkang.
 
“Dalam soal Israel dan Palestin, ia tidak ada kelabu, putih atau hitam. Ia tidak ada di tengah-tengah,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi Dun Sungai Balang di Sekolah Kebangsaan Parit Jamil di sini, semalam.
 
Beliau berkata, jika Anwar berjumpa dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, persoalannya bukan kerana Pas setuju atau tidak.
 
“Sebabnya kita tahu Anwar mempertahankan keselamatan Israel dan Pas tidak bersetuju serta tidak mahu campur, tetapi masih dalam satu pakatan. Ini dikira bersubahat.
 
“Tetapi saya hendak tanya, apa yang dia (Nik Aziz) hendak buat selepas itu. Biarkan dan keluar daripada pakatan mereka, berdiri atas hak atau menggadai sekali lagi perjuangan mereka,” katanya.
 
Sebelum ini, Nik Aziz dalam kenyataannya bakal mengadakan pertemuan dengan Anwar esok untuk mendengar penjelasan mengenai sokongannya terhadap Israel.
 
Dalam pada itu, menjawab dakwaan Anwar yang mengatakan kenyataan beliau dalam Wall Street Journal (WSJ) diputarbelitkan oleh media Umno, Ahli Parlimen Muar itu berkata, itu isu biasa dan tidak mengejutkan.
 
Katanya, sewaktu Anwar membuat kenyataan itu, tidak ada orang Umno pun tahu.
 
Razali berkata, disebabkan ingin memperoleh sokongan pihak Israel dan pemimpin Islam, Anwar mahu sokongan kedua-duanya.